ESSCom tahan pengedar syabu

Antara barang milik pengedar yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di ladang kawasan Kalabakan kelmarin.
Antara barang milik pengedar yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di ladang kawasan Kalabakan kelmarin.
A
A
A

KALABAKAN - Pengedar dadah ditahan selepas didapati memiliki syabu bernilai RM4,200 dalam satu serbuan di sebuah rumah di dalam kawasan ladang, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, lelaki warga asing berusia 20 tahun ditahan bersama 47.47 gram syabu, alat penimbang digital dipercayai digunakan untuk dadah berkenaan dan wang tunai sebanyak RM270.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, tangkapan dibuat selepas sepasukan anggota Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan tugas rondaan jarak jauh Op Benteng di lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, seorang lelaki didapati berdiri di hadapan rumah berkenaan dan dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Apabila anggota keselamatan menghampiri, lelaki itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan dan pemeriksaan terhadap beg silang milik suspek menemui lima paket plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 47.47 gram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fuad berkata, suspek yang tiada dokumen pengenalan diri ditahan dan beberapa barang dirampas untuk tindakan lanjut.

"Jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM4,700 membabitkan syabu, satu unit alat penimbang digital dan wang tunai RM270.

"Suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Ahmad Fuad berkata, ESSCom dengan kerjasama semua pasukan keselamatan yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan sentiasa memperketatkan kawalan keselamatan dengan melaksanakan rondaan agresif secara bersepadu bagi mengekang dan membanteras sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan di negara.

"Semua lapisan masyarakat khususnya komuniti maritim di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) juga diminta sentiasa memberikan kerjasama dengan menjadi mata dan telinga kerajaan.

"Ini termasuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara kepada Pusat Operasi (PUSOP) ESSCom di talian 089-863181 atau menghubungi balai-balai polis yang berhampiran.