X

Kindly register in order to view this article
!

MIDA kenal pasti 23 projek profil tinggi berpotensi

MIDA
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengenal pasti sejumlah 23 projek berprofil tinggi yang berpotensi dengan nilai pelaburan sebanyak RM75.4 bilion dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan daripada pelabur asing dari pelbagai negara yang disasarkan untuk dibawa masuk ke Malaysia pada 2021.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Datuk Lim Ban Hong berkata, setakat 31 Oktober 2020, MIDA sedang menilai sejumlah 786 projek pelaburan dengan nilai RM35.8 bilion dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan sebelum dibawa ke Jawatankuasa Nasional mengenai Pelaburan (NCI) untuk kelulusan.

“Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui MIDA akan terus berusaha untuk membawa masuk kadar pelaburan yang tinggi seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) berhubung pelaburan luar negara secara langsung (FDI) bagi tahun 2021.

Dalam pada itu Ban Hong berkata, bagi tempoh Januari hingga September 2020, pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama adalah berjumlah RM109.8 bilion.

“Sektor perkilangan adalah penyumbang terbesar kepada nilai pelaburan yang diluluskan iaitu sebanyak RM65.3 bilion, diikuti sektor perkhidmatan sebanyak RM42.8 bilion dan sektor utama sebanyak RM1.7 bilion,” katanya.

Daripada jumlah tersebut, katanya FDI menyumbang sebanyak 38.8 peratus yang bernilai RM42.6 bilion dan selebihnya, RM67.2 bilion (61.2 peratus) adalah pelaburan tempatan.

Beliau berkata, pelaburan yang diluluskan dalam tempoh itu melibatkan 2,935 projek dan dijangka dapat mewujudkan 64,701 peluang pekerjaan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!