X

Kindly register in order to view this article
!

'Jangan layan panggilan mencurigakan'

Polis Pahang menasihati orang ramai supaya tidak melayan atau mengabaikan panggilan daripada nombor tidak dikenali dan mencurigakan bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan. Gambar kecil: Supt Mohd Wazir
A
A

KUANTAN - Polis Pahang menasihati orang ramai supaya tidak melayan atau mengabaikan panggilan daripada nombor tidak dikenali dan mencurigakan bagi mengelak menjadi mangsa sindiket penipuan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, tindakan melayan panggilan atau pesanan sama ada melalui khidmat pesanan ringkas atau di laman sosial boleh menyebabkan terdedah dengan penipuan.

Menurutnya, ini sekali gus memudahkan mangsa menyerahkan atau berkongsi maklumat peribadi dengan pemanggil sehingga mendatangkan kerugian kepada mangsa.

"Polis sering memberi nasihat mengenai perkara ini, kalau ada panggilan yang mencurigakan, hentikan perbualan, kalau ada menerima sebarang pautan atau pesanan ringkas.. sila padamkan semua.

"Kalau ada unsur ugutan dan merasa curiga dengan panggilan tersebut, sila hubungi pihak berkuasa atau balai polis terdekat kerana pihak polis bersedia membantu. Jangan bagi ruang serta peluang kepada sindiket penipuan, " katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes pelaburan LikeShare: Polis terima satu lagi laporan

Ketika diminta mengulas mengenai kes pelaburan LikeShare, Mohd Wazir berkata, polis Pahang menerima satu laporan membabitkan kerugian RM1,000 berkaitan pelaburan terbabit pada Rabu lalu.

Mohd Wazir berkata, mangsa berusia 41 tahun dipercayai menerima satu aplikasi isharefans secara percuma daripada suspek pada awalnya selepas berminat dengan platform yang dipercayai boleh menjana pendapatan dengan kerja mudah secara dalam talian.

Menurutnya, mangsa telah diminta untuk melakukan tiga tugasan iaitu like dan share di laman sosial Facebook atau YouTube yang diberikan melalui email dan seterusnya menerima wang selepas melakukan tugasan itu.

"Mangsa kemudian diminta untuk menaik taraf aplikasi itu dan diminta membuat pembayaran mengikut berapa jumlah tugasan yang mahu dilakukan dalam masa sehari.

"Saya difahamkan mangsa mahu membuat 10 tugasan dalam masa sehari dan perlu membayar RM1,000 dan pembayaran perlu dibuat menerusi pautan yang diberi oleh pihak isharefans (suspek)," katanya.

Beliau berkata, selepas membuat pembayaran mangsa membuat semak dan pihak isharefans menafikan pembayaran yang telah di buat olehnya.

Jelasnya, mangsa kemudian membuat semakan dengan bank didapati terdapat satu transaksi ke akaun Agilnetic Solution dengan jumlah yang sama iaitu RM1,000 pada masa dan tarikh yang sama.

"Mangsa tampil membuat laporan polis selepas merasakan diri diperdaya. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!