KHP bantu usahawan terjejas

Syed Yussof (kanan) bersama Pengarah Urusan Al Hadad Manufacturing Sdn Bhd, Syed Salahuddin Syed Mahayadin melihat produk yang dihasilkan di KHP.
Syed Yussof (kanan) bersama Pengarah Urusan Al Hadad Manufacturing Sdn Bhd, Syed Salahuddin Syed Mahayadin melihat produk yang dihasilkan di KHP.
A
A
A

KEDAH Halal Park (KHP) menerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) memberi pengecualian sewa selama tiga bulan bermula April lalu sebagai inisiatif membantu usahawan terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNK, Syed Yussof Syed Othman berkata, usaha itu sebagai sokongan supaya usahawan IKS di KHP dapat meneruskan perniagaan walaupun memberi kesan kepada mereka sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ada yang terpaksa menghentikan perniagaan sementara.

Menurutnya, operasi pengeluaran di syarikat juga terhad kerana tenaga kerja terpaksa dikurangkan menyebabkan kebanyakan syarikat bertukar menggunakan platform atas talian.

“Sebanyak 22 syarikat berasaskan makanan, minuman, kosmetik dan produk kesihatan yang menyewa di 36 lot di KHP dikenakan sewa serendah RM1,600 hingga RM2,900 tetapi mendapat pengecualian bermula April hingga Jun 2020,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berharap inisiatif itu mampu menggalakkan usahawan meneruskan perniagaan selain merancang strategi terbaru khususnya menggunakan platform atas talian bagi meneruskan daya saing dalam pasaran.

Katanya, dengan prasarana disediakan KHP, seperti premis yang mempunyai kelengkapan dan pemudahcara bagi mendapatkan pensijilan agensi berkaitan membantu usahawan mencapai sasaran pendapatan lebih tinggi.

Syed Yussof memeriksa kualiti produk dihasilkan usahawan KHP.
Syed Yussof memeriksa kualiti produk dihasilkan usahawan KHP.

“Ia dibuktikan apabila beberapa syarikat berjaya memenuhi kehendak pasaran dengan permintaan menggalakkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Syed Yussof berkata, beliau mengalu-alukan usahawan berminat menyertai KHP kerana kini terdapat lima lot kosong yang belum disewa.

Katanya, setakat ini, KHP menyediakan peluang pekerjaan seramai 171 orang yang sedang berkhidmat di 22 buah syarikat dengan menyewa 36 buah premis di sini.

Beliau berkata, syarikat penghasilan produk minuman berjaya ialah Al-Hadad Manufacturing Sdn Bhd dan memperoleh pengiktirafan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Skim Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTi), Good Manufacturing Practise (GMP), Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP), Green 5s Standard and Industrial Research Institute of Malaysia (SIRIM) dan ISO 22000 Global Inter Certificate (GIC) melalui bantuan dan khidmat nasihat KHP.

Produk minuman, antaranya Tamar Cocoa dihasilkan syarikat itu di KHP berjaya menembusi pasaran Asia dan Timur Tengah.