Dataran Cheng Ho kekal 'bernyawa’ walaupun PKPB

Suasana Dataran Cheng Ho yang kekal bernyawa dan menjadi pilihan orang ramai mendapatkan makanan, buah-buahan dan bunga yang dijual di kawasan itu.
Suasana Dataran Cheng Ho yang kekal bernyawa dan menjadi pilihan orang ramai mendapatkan makanan, buah-buahan dan bunga yang dijual di kawasan itu.
A
A
A

KOTA BHARU - Dataran Cheng Ho yang menjadi mercu tanda hubungan erat antara kaum di negeri ini kekal 'bernyawa' dengan pelbagai aktiviti perniagaan yang dijalankan biarpun negara diuji dengan ancaman penularan pandemik Covid-19.

Suasana itu berbeza berbanding lokasi yang cukup terkenal sebagai pusat tumpuan pelancong Wakaf Che Yeh yang ketika ini ‘mati’ umpama pekan koboi susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Seorang peniaga nasi kukus di Dataran Cheng Ho, Mohd Kamal Ahmad Zuki, 43, berkata, sepanjang tempoh ancaman Covid-19, kedainya hanya tutup dan pekerja cuti selama 28 hari bermula 13 Mac lalu kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Syukur kerana saya berniaga di lokasi yang menjadi tumpuan gabungan tiga kaum utama dalam negara iaitu Melayu, Cina dan India yang sentiasa menyokong antara satu sama lain.

“Cuma kedatangan pelanggan tetap berkurang sehingga 50 peratus, namun Alhamdulillah masih dapat membayar gaji 12 pekerja dan tidak ada yang dipotong elaun atau dibuang kerja,” katanya ketika ditemui semalam.

Peniaga nasi kukus di Dataran Cheng Ho, Mohd Kamal Ahmad Zuki, 43, sedang menggoreng ayam yang menjadi antara lauk nasi kukus di sebuah kedai makan di Dataran Cheng Ho.
Peniaga nasi kukus di Dataran Cheng Ho, Mohd Kamal Ahmad Zuki, 43, sedang menggoreng ayam yang menjadi antara lauk nasi kukus di sebuah kedai makan di Dataran Cheng Ho.

Seorang lagi peniaga sate, Roslan Mat Yaman, 50, pula berpandangan keputusan kerajaan tepat kerana membenarkan aktiviti perniagaan berjalan dalam tempoh PKP dan PKPB bagi memulihkan semula ekonomi negara khususnya manakala dunia secara amnya.

“Pada masa sama pematuhan prosedur operasi standard (SOP) wajib menjadi keutamaan bagi mengelak kawasan ini terjadi jangkitan dengan memastikan pemakaian topeng muka.

Artikel Berkaitan:

“Pelanggan yang datang juga turut memainkan peranan penting apabila mereka begitu berdisiplin seperti menjaga penjarakan fizikal ketika beratur selain tidak melepak terlalu lama di kedai makan,” katanya.

Sementara itu, seorang barista, Wong Kenneth, 21, turut mengakui kafe hipster yang menjual minuman kopi brew di lokasi itu juga kurang menerima kehadiran pelanggan berbanding sebelum situasi penularan wabak Covid-19.

Suasana pelbagai perniagaan yang diusahakan oleh peniaga Dataran Cheng Ho dan masih menjadi tumpuan ramai.
Suasana pelbagai perniagaan yang diusahakan oleh peniaga Dataran Cheng Ho dan masih menjadi tumpuan ramai.

Pelanggan yang juga juruterbang AirAsia, Sew Wei Yee, 28, pula berpendapat kedudukan lokasi antara Dataran Cheng Ho dan Wakaf Che Yeh turut mempengaruhi kehadiran orang ramai ketika ini.

“Kedudukan Dataran Cheng Ho yang berada di tengah-tengah bandar Kota Bharu memberi kelebihan sekali gus menjadi tumpuan orang ramai untuk datang ke sini.

“Wakaf Che Yeh pula lebih terarah kepada kehadiran pelancong dari luar Kelantan menyebabkan suasana di situ lenggang apatah lagi ketika PKPB kerana mereka tidak boleh rentas negeri,” katanya yang turut mengakui Covid-19 bukan sahaja menjejaskan ekonomi dan bahkan juga industri penerbangan.

Pintu gerbang Dataran Cheng Ho yang dibina pada tahun 2013 hasil inspirasi dan idea bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai lambang hubungan erat pelbagai kaum di negeri ini.