X

Kindly register in order to view this article
!

Ringgit dibuka tinggi, nilai dolar AS terus lemah

Ringgit dibuka agak kukuh berbanding dolar AS pagi ini, mengambil peluang daripada kelemahan nilai dolar yang berterusan serta kemungkinan langkah mengurangkan pengeluaran akan dilanjutkan oleh OPEC.
A
A

RINGGIT dibuka agak kukuh berbanding dolar AS pagi ini, mengambil peluang daripada kelemahan nilai dolar yang berterusan serta kemungkinan langkah mengurangkan pengeluaran akan dilanjutkan oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Pada jam 9.01 pagi, unit tempatan disebut harga pada 4.0630/0680 berbanding dolar AS daripada 4.0670/0710 ketika ditutup pada petang Jumaat minggu lalu.

Dalam satu nota penyelidikan hari ini, Kenanga Research berkata, trend menaik mata wang tempatan mungkin dapat bertahan lama, lebih-lebih lagi dengan kelemahan dolar yang berterusan dan disokong oleh harga minyak mentah yang tinggi, sekiranya OPEC mengambil keputusan melanjutkan pengurangan pengeluaran minyak pada mesyuaratnya yang bakal berlangsung minggu ini.

Minggu lepas, katanya, ringgit terus melonjak ke paras paling kukuh sejak 24 Januari, 2020, selepas Parlimen meluluskan Belanjawan 2021 dengan undi suara pada peringkat dasar, sekali gus meredakan ketidakpastian dasar dan politik.

“Ringgit turut mendapat rangsangan daripada harga minyak yang lebih baik di celah-celah kemajuan vaksin Covid-19,” katanya.

Dari segi teknikal, menurut petunjuk teknikal purata pergerakan pesat (EMA), ringgit dijangka lemah sedikit sebanyak 0.25 peratus kepada 4.079 dengan dolar AS berusaha untuk membalikkan trend pasangan.

Ia berkata corak penurunan mungkin menyaksikan paras halangan 4.098 sekiranya paras halangan 4.083 dicapai.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ia menyusut berbanding yen pada 3.9112/9164 daripada 3.9083/9133 ketika ditutup pada Jumaat dan lebih rendah berbanding euro pada 4.8634/8710 daripada 4.8479/8543 sebelumnya.

Berbanding pound, ringgit mengukuh kepada 5.4172/4243 daripada 5.4319/4389 dan tidak berubah berbanding dolar Singapura pada 3.0380/0420. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!