Tok Mat lulus ujian pertama

A
A

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dengan majoriti lebih besar merupakan satu kejayaan yang sangat luar biasa. Ini juga menunjukkan kesediaan rakyat memberi peluang kepada BN di bawah “kepimpinan” Datuk Seri Mohamad Hasan.

Selepas empat PRK, pertarungan kelima di Cameron Highlands dianggap sengit malah tidak mustahil BN akan hilang kerusi tersebut buat pertama kali. Biar pun Cameron Highlands merupakan kawasan tradisi BN namun ada beberapa faktor yang meyakinkan Pakatan Harapan (PH) bahawa mereka mampu memenangi PRK ini.

Di atas kertas kelihatan PH mampu menang bergaya. Dalam pilihan raya 2018, M Manogaran hanya kalah dengan majoriti tipis iaitu sekitar 500 undi ketika menentang calon BN C Sivarraajh.

Andaian DAP jika ketika menguasai pentadbiran persekutuan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) pun BN hanya menang tipis, pastinya keadaan kali ini lebih sukar. Persepsi politik ialah masyarakat orang Asli lebih mudah dipujuk oleh kerajaan berbanding pembangkang.

Berdasarkan rekod daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), bilangan pengundi Melayu di Parlimen itu adalah 10,820 orang atau mewakili 34 peratus, Cina 9,524 (30 peratus) dan India 4,798 (15 peratus). Pengundi Orang Asli pula seramai 6,964 orang, mewakili 23 peratus pengundi di sana.

Menggunakan JKOA dan jentera Kerajaan Persekutuan, PH berharap mereka dapat membolot sebahagian besar undi orang Asli yang berjumlah 6,964.

Tidak cukup itu, mereka berjaya pula memujuk Presiden Myppp, Datuk Seri M Kayveas menyokong calon PH. Sokongan Kayveas kepada PH tidak menghairankan. Di mana ada gula disitulah ada semut. Pengaruh beliau di sana tidak boleh dinafikan. Beliau telah turun ke akar umbi sana sejak 2016. Pada masa itu beliau melobi menjadi calon BN pada 2018.

Namun BN membuat kejutan apabila mengumumkan bekas anggota polis dari suku Temiar, Ramli bin Mohd Nor sebagai calon. Sebagai bekas pegawai polis dan penduduk tetap di sana, Ramli menjadi satu fenomena tempatan sebagai bakal Ahli Parlimen pertama dari masyarakat orang Asli.

Pemilihan Ramli sebagai calon BN merupakan satu “turning point” penting dalam PRK Cameron Highlands. Ia bukan sahaja menyatukan undi masyarakat bumiputera malah memberi kesegaran baharu kepada pengundi di sana.

Sehingga hari ini masih misteri bagaimana nama Ramli boleh terpilih sebagai calon. Beliau bukan dalam hirarki Umno Cameron Highlands dan juga bukan dalam elit politik negeri Pahang.

Ini adalah kebijaksanaan Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Cameron Highlands menilai calon yang boleh menang.

Ketika reality show “Mencari Ramli” gagal melahirkan sebarang pemain bola sepak negara bertaraf antarabangsa, Menteri Besar Pahang ini menemui Ramli yang boleh menang.

Cadangan Ramli Mohd Nor sebagai calon BN merupakan ujian besar kepada kepimpinan Mohamad Hasan untuk meyakinkan parti komponen BN, terutamanya MIC, supaya memberi laluan kepada Ramli bertanding.

Bagaimana beliau meyakinkan dan “menyejukkan” MIC untuk memberi laluan kepada Ramli adalah sangat luar biasa.

Ini kerana sejak kalah dalam pilihan raya lalu, BN dan Umno berhadapan cabaran kepimpinan yang besar. Dato’ Sri Mohd Najib Razak didesak melepaskan jawatan dengan segera sebelum pemilihan Umno bermula.

Kemudian Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didesak bercuti kerana berhadapan pelbagai tuduhan di mahkamah dan gagal membendung Ahli Parlimen Umno dari keluar parti.

Justeru apabila Ahmad Zahid mengumumkan bahawa Mohamad Hasan diberi tanggungjawab menjalankan tugas-tugas Presiden, tidak ramai yang percaya bekas Menteri Besar Negeri Sembilan ini mampu menguruskannya.

Siapa hendak mendengar cakap Mohamad Hasan yang hanya menjalankan tugas-tugas Ahmad Zahid. Beliau bukan pemangku Presiden Umno dan Pengerusi BN. Beliau hanya diberi tanggungjawab menjalankan tugas-tugas Presiden Umno dan Pengerusi BN.

Namun PRK Cameron Highlands menyerlahkan kemampunan Mohamad Hassan sebagai seorang pemimpin dan perunding yang baik.

Beliau berjaya menstabilkan Umno dan memujuk MIC melepaskan kerusi Cameron Highlands dalam PRK kali ini. Beliau juga berjaya menguruskan kerjasama BN-PAS dalam keadaan penuh kehormatan dan saling mempercayai. Nama calon BN turut dibawa berunding dengan Pas sebelum pengumuman.

Hasilnya, jentera MIC dan Pas memastikan pengundi tradisi mereka keluar dan memberi undi kepada calon BN dan ini menghasilkan kemenangan besar kepada BN.

Namun bulan ini ujian buat Mohamad Hasan lebih besar. BN akan bertarung di kubu kuat PH dalam PRK Dewan Undangan Negeri Semenyih.

Kali ini lebih berat kerana bukan sahaja BN kalah dengan majoriti yang besar dalam pilihan raya lalu, ia juga bakal berhadapan dengan jentera kerajaan Persekutuan dan Negeri Selangor dari PH.

Di Semenyih, Mohamad Hasan harus menggembleng BN tanpa aura Najib Razak dan Wan Rosdy seperti dalam PRK Cameron Highlands. Jika di Cameron Highlands, aura Najib Razak telah membantu kempen, ada kekhuatiran aura yang sama mungkin memberi impak negatif.

Lebih sukarnya Semenyih ialah kepimpinan Umno Selangor sendiri tidak banyak berubah dan hanya terdiri daripada mereka yang syok sendiri.

Umno Selangor masih ada tradisi “warlord” di kalangan Ketua Umno Bahagian, kesukaan “membunuh” kawan-kawan dan bercakap meninggi diri walaupun sudah berpenggal kalah. Malah Pengerusi “luar” Datuk Seri Ismail Sabri pun khabarnya sudah berputus asa dan berkira-kira mahu melepaskan jawatan tersebut.

Jika BN hendak menang dalam PRK ini ia memerlukan keberanian dan kesungguhan Mohamad Hasan melakukan sesuatu di luar kerangka jumud Umno Selangor.

Jika pemilihan calon dan pembentukan jentera pilihan raya dijalankan dalam tradisi lama atau “business as usual” maka tidak ada harapan untuk BN menang.

Ingatlah jika tidak dipecahkan ruyung tak mungkin mendapat sagunya.

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.