Ramal Jawatankuasa Pilihan Khas bakal diwujudkan

Muhammad Fathi
Muhammad Fathi
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas mungkin terpaksa diwujudkan sekiranya persetujuan sukar dicapai dalam perbahasan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa setiap kementerian yang bermula hari ini.

Pakar Perlembagaan yang juga Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan) Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas itu untuk melihat aspek tertentu secara spesifik yang menjadi pertikaian antara ahli Dewan Rakyat.

Menurutnya, selepas proses persetujuan dicapai barulah proses undian dibuat untuk belanjawan tersebut diluluskan.“Bagaimanapun, kita mengharapkan proses perbahasan itu berjalan secara sihat memandangkan bacaan kali ketiga belanjawan lebih kepada formaliti.

“Bacaan kali ketiga itu bertujuan memperincikan cadangan balas dan memastikan perincian kepada perkara spesifik yang ada beza pandangan antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang agar ia dimuktamadkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Muhammad Fathi memaklumkan, apabila berlaku perbezaan pandangan pada perbahasan peringkat jawatankuasa, maka ia perlu dibincangkan sehingga ada kesepakatan.

Beliau juga percaya, sekiranya wujud perbezaan pandangan dalam kalangan ahli Parlimen tetapi ia tidaklah ketara kerana Belanjawan 2021 itu sendiri diluluskan secara dasarnya.

“Sepatutnya tidak menimbulkan lagi persoalan dasar dan sekiranya masih ada perbezaan pendapat dalam aspek yang spesifik, ia perlu diselesaikan melalui perbincangan,” katanya.

Justeru itu, semua ahli Parlimen disaran mengambil perhatian nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan diselesaikan dengan cara baik supaya perbelanjaan kerajaan dapat diluluskan untuk kepentingan rakyat.

Artikel Berkaitan: