X

Kindly register in order to view this article
!

Situasi Covid-19 faktor Hockademy tarik diri

Skuad Hoki Wanita Hockademy tidak akan mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu selepas mengambil keputusan menarik diri daripada saingan LHM.
A
A

HOCKADEMY mengesahkan bahawa kelab itu tidak akan mengambil bahagian dalam saingan TNB-Liga Hoki Malaysia (LHM) 2021 yang dijadualkan berlangsung bermula 8 Januari hingga 28 Februari depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kelab tersebut, keputusan itu dibuat sebulat suara oleh majlis tertinggi pengurusan selepas perbincangan pada 15 November lalu.

“Dalam perbincangan tersebut beberapa isu utama telah digariskan termasuk ketidaktentuan yang timbul disebabkan oleh pandemik Covid-19 menjadi antara sebab utama mengapa Hockademy tidak dapat mempertahankan kejuaraan Liga Hoki Wanita Malaysia yang dimenangi pada tahun ini termasuk beberapa sebab lain lagi.

“Antaranya tempoh persiapan yang singkat untuk mengadakan sesi pemilihan dan latihan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dilaksanakan di Lembah Klang sehingga 6 Disember ini.

“Kes Covid-19 masih mencatat bacaan empat angka sekali gus menimbulkan kebimbangan dan ancaman kesihatan ke atas para pemain dan pegawai pasukan,” katanya.

Pada masa sama Hockademy mengakui sukar untuk mendapatkan penajaan ketika kebanyakan syarikat terjejas dan berdepan impak kewangan yang teruk sepanjang tahun ini.

Tambahnya, wujud kemungkinan PKPB akan disambung lagi sekali gus menimbulkan ketidaktentuan tarikh penganjuran TNB-MHL dan kemungkinan ia akan ditangguhkan.

“Ia juga mengambil kira keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), kerajaan negeri Johor dan Majlis Sukan Negara (MSN) membatalkan penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 yang dijadualkan berlangsung pada April depan dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pihak Hockademy bersedia untuk mengambil bahagian dalam Liga Hoki Remaja Malaysia 2021, namun ia bergantung kepada situasi pandemik Covid-19 ketika itu.

“Buat masa ini pihak Hockademy hanya ingin menumpukan kepada program pembangunan akar umbi kami yang dikenali sebagai Program Hocka Kids.

“Apapun, pihak Hockademy mendoakan kelicinan penganjuran TNB-MHL 2021 buat Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) selain mengucapkan selamat maju jaya kepada semua pasukan yang mengambil bahagian bagi kempen 2021,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!