Lelaki bawa pokok pisang secara berbahaya ditahan

Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang lelaki membawa sebatang pokok pisang menggunakan kereta di Jalan Persiaran Utama, Mutiara Rini, Iskandar Puteri semalam.
Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang lelaki membawa sebatang pokok pisang menggunakan kereta di Jalan Persiaran Utama, Mutiara Rini, Iskandar Puteri semalam.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Seorang lelaki ditahan kerana membawa sebatang pokok pisang dalam keadaan melintang menggunakan sebuah kereta sehingga membahayakan kenderaan lain di Jalan Persiaran Utama, Mutiara Rini, Skudai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada jam 9.30 pagi tadi selepas hadir ke Balai Polis Trafik Iskandar Puteri.

"Siasatan mendapati kereta Toyota Vios yang digunakan untuk membawa pokok pisang pada jam 2 petang semalam itu bukan milik lelaki berkenaan. Kereta itu sebenarnya dimiliki bapa saudaranya.

"Pemiliknya yang berada di Singapura berjaya dihubungi pada jam 7.15 petang semalam. Pada jam 8.30 malam anaknya hadir membawa kereta tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Video lelaki tempatan itu yang membawa sebatang pokok pisang di bahagian belakang kereta hingga menghalang penglihatan selain membahayakan pengguna jalan raya di kiri dan kanan jalan tular dalam media sosial.

Dzulkhairi berkata, berdasarkan keterangan lisan anaknya, kenderaan tersebut dipandu sepupunya yang membawa pokok pisang tersebut untuk tujuan upacara sembahyang di Mutiara Rini.

Katanya, selepas pemandu kereta itu hadir di balai tersebut pemeriksaan mendapati dia memiliki 18 saman trafik termasuk empat waran tangkap dan 10 saman berstatus Tidak Boleh Kompaun (NC).

Menurutnya, saman dikeluarkan terhadap lelaki berkenaan di bawah Kaedah 20, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/1959) atas kesalahan membawa muatan dengan kenderaan yang tidak sesuai.

Artikel Berkaitan:

Lelaki tersebut juga ujarnya, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada hari ini untuk menyelesaikan kes-kes saman lampau yang berstatus waran tangkap.

"Secara keseluruhannya saman yang telah diselesaikan sebanyak enam keping saman bernilai RM1,200," katanya.

Tambahnya, kereta itu disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan cukai jalan tamat tempoh serta kenderaan dipandu tanpa lesen sehingga pemilik sah kenderaan hadir untuk diambil tindakan selanjutnya.