Lepas tetak pesara MARDI, suspek rompak rumah jurutera

Laporan Sinar Harian berhubung kes rompakan yang mengorbankan nyawa pesara MARDI, Dr Wan Hassan Wan Embong.
Laporan Sinar Harian berhubung kes rompakan yang mengorbankan nyawa pesara MARDI, Dr Wan Hassan Wan Embong.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penjenayah yang merompak dan menetak pesara Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Wan Hassan Wan Embong hingga maut dilaporkan turut bertindak memecah masuk sebuah banglo di Taman Tiara Titiwangsa di sini dua jam kemudian.

Kediaman tiga tingkat milik seorang jurutera itu dipecah masuk pada jam 5.15 pagi hari ini ketika mangsa serta ahli keluarganya sedang tidur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, siasatan mendapati dua lelaki bertindak mengetuk pintu bilik mangsa dan ahli keluarga yang lain sebelum mengugut akan mencederakan mereka sekiranya melawan.

"Mangsa bersama 12 ahli keluarganya serta pembantu rumah diikat pada bahagian tangan menggunakan kabel telefon sebelum disumbat kain dalam mulut.

“Suspek yang bersenjatakan parang dan tukul besi kemudian telah menyelongkar semua bilik sebelum melarikan barang kemas, televisyen, komputer riba, telefon bimbit serta wang tunai RM3,500," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, dua suspek terbabit dipercayai melarikan diri bersama seorang lagi suspek yang berada di luar rumah.

Katanya, siasatan awal pasukan forensik polis mendapati suspek masuk dan keluar melalui cermin tingkap di sebelah kiri rumah berikutan terdapat kesan umpilan pada cermin tersebut.

"Kita turut menemui lapan kesan cap cari di lokasi kejadian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, pemeriksaan di sekitar tempat kejadian menjumpai dompet dan dokumen milik mangsa yang disamun dan bunuh di Jalan Mambu, Bangsar.

"Siasatan masih dijalankan untuk mengesan tiga suspek terbabit. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Hari ini, Sinar Harian melaporkan Wan Hassan, 71, yang merupakan bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Mardi maut ditetak perompak dalam kejadian di rumahnya di Bukit Bandaraya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi tadi, rumah dihuni mangsa dan bersama isteri berusia 70 tahun dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesara MARDI maut ditetak perompak

Perompak tetak pesara dipercayai guna laluan belakang: Saksi