Kerajaan perlu segera naik taraf kemudahan internet

No Image Caption
A
A
A

KEBELAKANGAN ini semakin banyak berita mengenai kepayahan pelajar sekolah dan penuntut universiti mendapatkan akses internet untuk menghadiri kelas dan menjawab peperiksaan secara online.

Bermula dengan kisah mahasiswi Universiti Malaysia Sabah, Veveonah Mosibin yang menghabiskan masa 24 jam masuk ke hutan dan memanjat pokok di Pitas, Sabah untuk menjawab peperiksaan subjek Kimia.

Kemudian kisah pelajar semester lima Pengajian Islam di Universiti Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Saiful Izwan Mohd Hilmi, 21, dari Kampung Tembak B, Baling Kedah yang terpaksa meletakkan router wifi di atas sebatang pokok bagi memastikan capaian internet lebih lancar.

Paling mengejutkan, tiga pelajar yang sedang mencari akses internet untuk mengikuti kelas dalam talian, terjatuh dari jambatan gantung yang runtuh di Kampung Gusi, Ranau Isnin lalu.

Kejadian dipercayai kira-kira jam 9 malam membabitkan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugut.

Semalam pula, seorang penuntut tahun dua jurusan Teknologi Makmal Pusat Perubatan Universiti Malaya perlu mendaki bukit setinggi lebih 20 meter di belakang rumahnya di Kampung Bukit Petai Tujuh, Tanah Merah Kelantan untuk mendapatkan akses internet.

Selain perlu memanjat dengan keadaan tanah yang becak, Nurlieda Khaleeda Mohd Azmi, 20, juga terpaksa menjawab peperiksaan dalam suasana tidak selesa kerana gangguan nyamuk dan kadang-kala terdapat ular berbisa yang menyusur keluar berdekatan tempatnya menjawab soalan peperiksaan.

Bahkan terdapat banyak lagi kisah kesusahan pelajar yang cuba mendapatkan akses internet berlaku di negara kita pada tahun 2020 ini, tidak sempat untuk dimuatkan dalam akhbar.

Artikel Berkaitan:

Sewajarnya kisah-kisah tersebut perlu dipandang serius oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan syarikat telko dalam meningkatkan fasiliti telekomunikasi di Malaysia.

Dalam keadaan penggunaan internet sudah menjadi amat penting, tidak sewajarnya kisah-kisah tersebut masih berlaku.