Gelagat kanak-kanak atas bumbung buat netizen kecut perut

Kelibat kanak-kanak yang dilihat berkeliaran di atas bumbung sebuah apartmen menerusi satu klip video yang tular baru-baru ini.
Kelibat kanak-kanak yang dilihat berkeliaran di atas bumbung sebuah apartmen menerusi satu klip video yang tular baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu klip video yang memaparkan seorang kanak-kanak sedang berjalan di atas bumbung sebuah apartmen tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Menerusi perkongsian di laman Facebook Rizal Hakimm, klip video berdurasi 0:26 saat itu memaparkan kelibat kanak-kanak berkenaan berada seorang diri di atas bumbung apartmen terbabit yang dipercayai terletak sekitar Kajang.

Sehingga jam 6 petang tadi, video tersebut yang dimuat naik sejak 26 November lalu telah mendapat sebanyak 146 perkongsian dan 178 komen daripada netizen yang rata-ratanya menyatakan kebimbangan risiko bahaya berikutan tindakan kanak-kanak itu.

Seorang netizen dikenali sebagai Eyda Basri berkata, kanak-kanak itu mungkin sedang bermain di atas bumbung berkenaan bersama rakannya yang lain menerusi video itu.

"Ini macam tengah main nyorok-nyorok. Aku yang tengok pun dah rasa kecut perut. Berani betullah budak ni," katanya.

Sementara itu, ada di antara netizen turut mempersoalkan aspek keselamatan yang diuruskan oleh pihak pengurusan apartmen terbabit sehingga menyebabkan kanak-kanak itu dapat naik ke tingkat atas bumbung berkenaan.

Md Asyraf Idris berkata: "Pintu tidak dikunci. Pihak pengurusan tak pantau ke?" soalnya.

Dalam pada itu, Ismail Isa menggesa agar ibu bapa dapat memantau anak masing-masing khususnya sewaktu cuti persekolahan ini bagi menggelakan sebarang kejadian tidak diingini.

Artikel Berkaitan:

Ismail turut menggesa agar laporan polis dapat dibuat oleh saksi bagi membolehkan tindakan selanjutnya dapat diambil oleh pihak berkuasa.

"Tolonglah ibu bapa di luar sana, pantau anak masing-masing, tambahan pula pada musim cuti ini. Risau tengok budak ini dan harap laporan polis dapat dibuat segera," katanya.