AMK jangan terjerumus dalam provokasi segelintir ahli Amanah

Razeef
Razeef
A
A
A

KOTA KINABALU - Anggota Angkatan Muda Keadilan (AMK) diingatkan supaya tidak terjerumus dalam provokasi yang cuba ditimbulkan oleh segelintir Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah).

Provokasi itu timbul susulan rasa tidak puas hati sebahagian ahli Amanah apabila enam daripada 11 ahli Parlimen parti itu berdiri tanpa sokongan untuk membuat usul undi belah bahagi dalam penggulungan Belanjawan 2021 pada Khamis lalu.

Ketua Penerangan AMK Sabah, Razeef Rakimi berkata, pelbagai pihak telah menerangkan strategi dan sebab keputusan itu diambil, namun sejak insiden terbabit, provokasi tidak putus-putus sehingga ada yang meminta Amanah mempertimbangkan semula kedudukan parti itu dalam Pakatan Harapan (PH).

"Kita melihat segelintir daripada mereka sudah tidak mengendahkan arahan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang meminta ahlinya untuk memperkukuhkan pakatan bersama rakan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

"Malah Timbalan Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub terpaksa memohon maaf selepas diasak ahli sendiri berbanding memberi penjelasan mengapa tindakan sedemikian diambil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Razeef berkata, ada segelintir daripada mereka tidak faham keputusan yang diambil atas strategi jangka masa panjang memandangkan situasi politik negara berubah setiap jam.

"Mereka yang berada dalam arena politik sepatutnya faham akan strategi sebelum mengambil sebarang langkah agar tidak tersungkur jika kesilapan berlaku.

"Namun tanpa mengambil peduli sebab keputusan berkenaan dibuat, serangan demi serangan terus dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Beberapa kenyataan yang berunsur provokatif oleh pemimpin sayap Pemuda dan Wanita Muda Amanah dinafikan sendiri oleh pemimpin sayap berkenaan dengan mendakwa ia hanya pandangan peribadi dan tidak mewakili sayap berkenaan," katanya.

Tambah Razeef lagi, ini jelas menunjukkan Amanah masih berada di landasan tepat bersama PH dengan menolak beberapa kenyataan yang mengundang perpecahan.

"Pimpinan AMK pula sama ada di peringkat Pusat, Negeri, Cabang atau Ranting perlu terus memberi penerangan kepada akar umbi mengenai keputusan yang dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen.

"Sekali lagi saya mengingatkan anggota AMK untuk mengabaikan sebarang provokasi dan cubaan untuk memecah belahkan kesepakatan dalam PH yang cuba ditimbulkan segelintir pihak," katanya.