Norihan dipindahkan ke wad biasa

Norihan tiba di HPP pada malam Rabu lalu untuk menjalani pembedahan membuang peluru ditubuhnya.
Norihan tiba di HPP pada malam Rabu lalu untuk menjalani pembedahan membuang peluru ditubuhnya.
A
A
A

GEORGETOWN - Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang terselamat dalam kejadian tembak ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Sarjan Norihan a/l Tari telah dipindahkan ke wad biasa di Hospital Pulau Pinang, tadi.

Beliau yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP itu dilaporkan stabil dan menunjukkan perkembangan yang semakin baik.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar berkata, bagaimanapun, Norihan masih dipantau oleh doktor pakar.

"Keadaan Norihan semakin baik. Beliau perlu banyak berehat dan pelawat tidak dibenarkan melawatnya ketika ini," katanya ketika dihubungi tadi.

Mengulas mengenai baki sebutir peluru yang masih belum dikeluarkan dari tubuh Norihan, Abd Rahim berkata, doktor pakar masih membuat penilaian sama ada pembedahan susulan diperlukan atau sebaliknya.

Norihan dilaporkan menunjukkan perkembangan baik dan dipindahkan ke wad biasa di HPP.
Norihan dilaporkan menunjukkan perkembangan baik dan dipindahkan ke wad biasa di HPP.

"Saya difahamkan kedudukan peluru itu terlalu dekat dengan tulang belakangnya. Jika ia dibuang (juga) berkemungkinan akan memberi kesan (bahaya) kepada Norihan.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada penilaian doktor pakar. Semuanya bergantung kepada keputusan doktor yang merawatnya kerana ada kes, peluru tidak perlu dibuang dari tubuh dan ia tidak memberi kesan kepada pesakit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Abd Rahim berkata, beliau akan melawat Norihan selepas doktor membenarkan anggota itu menerima pelawat.

Semalam, Norihan menerima Watikah Wira Negara dan surat penghargaan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang disampaikan oleh Juruiring Polis Kepada Yang Dipertuan Agong, Datuk Yahaya Othman di ICU HPP.

Terdahulu, Norihan selesai menjalani pembedahan membuang dua butir peluru di perut Khamis lalu.

Pembedahan yang mengambil masa lebih empat jam bermula jam 1.30 petang itu dijalankan oleh kumpulan pakar HPP di sini.

Sehari sebelum itu, Norihan tiba di HPP tepat jam 9.20 malam dari Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan tiga peluru iaitu satu di tulang belakang dan dua pada perut.

Dalam kejadian awal pagi Selasa lalu, seorang anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini, maut dipercayai akibat ditembak.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi itu, mangsa, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, sedang bertugas bersama Norihan yang mengalami kecederaan parah akibat ditembak penjenayah.