Banjir mulai surut, mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah

Azman Bakar, 27, (kiri) bersama anaknya, Muhammad Firdaus, 7, hari ini membersihkan barangan dalam rumah mereka di Felda Seberang Tayor, Kemaman yang dilanda banjir pada Jumaat lalu.
Azman Bakar, 27, (kiri) bersama anaknya, Muhammad Firdaus, 7, hari ini membersihkan barangan dalam rumah mereka di Felda Seberang Tayor, Kemaman yang dilanda banjir pada Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hampir semua mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini dibenarkan pulang ke rumah hari ini selepas paras air di rumah mereka surut sepenuhnya.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, sehingga jam 6 petang ini, hanya sebuah PPS dibuka iaitu di daerah Marang.

Beliau berkata, seramai lapan mangsa membabitkan tiga buah keluarga masih ditempatkan di PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang, Marang.

"Kesemua lapan PPS yang dibuka di daerah Kemaman bagi menempatkan seramai 897 mangsa banjir telah ditutup secara berperingkat.

"Ia menjadikan jumlah terkini mangsa banjir setakat ini ialah seramai lapan orang mangsa, sekali gus menunjukkan penurunan jumlah mangsa banjir berbanding 1,041 orang daripada 269 keluarga yang direkodkan sehingga jam 8 pagi tadi," katanya di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, penduduk di kawasan berisiko diminta supaya sentiasa berwaspada terhadap bencana banjir kerana negeri ini masih berada dalam musim tengkujuh.

"Hari ini telah masuk hari keenam sejak banjir melanda Terengganu bermula Selasa minggu lalu.

"Keadaan cuaca semasa cerah, namun perlu berhati-hati kerana terdapat amaran cuaca waspada bagi kawasan utara Terengganu iaitu Besut dan Setiu," katanya.

Artikel Berkaitan: