Kenapa Amanah seperti 'berpecah' isu bajet? Ini luahan Khalid, Mahfuz

Mahfuz bangun memberi cadangan undi belah bahagi pada Khamis lalu di Dewan Rakyat.
Mahfuz bangun memberi cadangan undi belah bahagi pada Khamis lalu di Dewan Rakyat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abd Samad menjelaskan bahawa Presiden parti itu, Mohamad Sabu tidak bangun ketika undian belah bahagi terhadap Belanjawan 2021 kerana menghormati keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH).

"Keputusan itu dibuat dalam dewan, maka untuk menjaga hati pihak berkenaan, Presiden dan Timbalan Presiden kami, Datuk Seri Salahudin Ayub tidak bangun dan beri sokongan dalam undian belah bahagi itu, manakala kami di belakang teruskan niat meneruskan sokongan undi belah bahagi.

"Sepatutnya seperti yang telah dipersetujui semua Ahli Parlimen pembangkang termasuk kami dalam Amanah, sebelum ini pada mesyuarat Rabu lalu, sokong undian belah bahagi, namun ia diubah pada saat-saat akhir semalam.

"Perkara ini tidak dibincang dalam mesyuarat dan keputusan itu buat serta-merta dalam dewan pada masa dan ketika itu juga," katanya ketika dihubungi semalam.

Khalid
Khalid

Menurut beliau, sebagai antara tulang belakang parti itu, dia serta beberapa lagi Ahli Parlimen lain bangun dan tidak mengikut tindakan PH dan keputusan itu dibuat atas pendirian masing-masing tanpa mengikut mana-mana pihak.

Bekas menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, pada asasnya sokongan terhadap undi belah bahagi itu menampakkan ketidak serasian antara mereka dalam PH, namun sebenarnya ia berlaku secara spontan.

Khalid berkata, menjadi sesuatu yang sukar sekiranya mereka (Amanah) tidak berdiri dan menuntut undi belah bahagi selepas pelbagai kenyataan dan janji yang dibuat kepada rakyat untuk menolak Belanjawan 2021.

Artikel Berkaitan:

Khalid bagaimanapun berkata, Amanah tidak biasa dengan konsep 'dengar dan patuh' kerana merasakan terdapat keperluan untuk berbincang dan berhujah mengenai pembentangan belanjawan itu.

Menurutnya lagi, sekiranya undi belah bahagi tidak dibangkitkan, ia seolah-olah memberikan bayangan bahawa ahli Parlimen Amanah menyokong Belanjawan 2021 sedangkan banyak kenyataan sebelum ini menyatakan sebaliknya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menegaskan pendiriannya, bahawa blok pembangkang tetap tidak menyokong Belanjawan 2021 dalam undian di Parlimen Khamis lalu.

Menurutnya, apa yang berlaku di Parlimen itu, sebenarnya disalah tafsir yang mengatakan PH tidak sepakat dalam undian belah bahagi.

Mahfuz
Mahfuz

Mahfuz menjelaskan, apa yang berlaku Khamis lalu bukan bermakna mereka menyokong bajet yang dibentangkan dan perkara itu masih belum muktamad, maka bajet hanya diluluskan secara dasar namun belum di peringkat jawatankuasa.

Khamis lalu, dewan kecoh selepas selesai ucapan penggulungan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memberikan peluang kepada Ahli Parlimen yang mahukan undi belah bahagi untuk berdiri.

Ketika itu, hanya 13 ahli Parlimen yang berdiri, kurang dua ahli Parlimen diperlukan mengikut syarat undi belah bahagi dijalankan. Kesemua ahli Parlimen Pejuang pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad berdiri termasuk majoriti Ahli Parlimen Amanah.

INFO

Ahli Parlimen Amanah bangun sokong undi belah bahagi

Pokok Sena - Datuk Mahfuz Omar

Shah Alam - Khalid Abd Samad

Hulu Langat - Datuk Hasanuddin Mohd Yunus

Kuala Selangor - Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

Lumut - Datuk Dr Mohd Hatta Ramli

Sepang - Mohamed Hanipa Maidi

Ahli Parlimen Amanah tidak bangun undi belah bahagi

Kota Raja - Mohamad Sabu

Pulai - Datuk Seri Salahuddin Ayub

Parut Buntar- Datuk Seri Dr Mujahid Yusof

Tampin - Datuk Hasan Bahrom

Temerloh - Datuk Mohd Anuar Tahir