Cubaan samun kedai emas gagal

Kejadian rompakan kedai emas yang berlaku semalam.
Kejadian rompakan kedai emas yang berlaku semalam.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Biarpun beberapa kali mencuba, namun rancangan penjenayah membawa pulang barang kemas yang ingin dirompak gagal setelah tiada akses ke ruang pameran kaca sebaliknya bunyi penggera mematahkan cubaan.

Dalam kejadian di sebuah kedai emas di Jalan Ibrahim kira-kira jam 3.40 pagi semalam, penjenayah dipercayai pulang tangan kosong apabila tidak berjaya masuk ke pejabat dan ruang simpanan barang kemas.

Kedai yang kerap kali menjadi tumpuan penjenayah itu bagaimanapun telah dipertingkatkan keselamatan apabila keseluruhan kawasan pameran barang kemas dikunci dan tidak dapat diakses tanpa kebenaran.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati suspek dipercayai masuk melalui bumbung di tingkat dua kedai.

Menurutnya, hasil semakan CCTV menunjukkan, selepas suspek turun melalui pintu dapur, dia gagal memasuki kawasan simpanan barang kemas menyebabkan dia naik semula ke atas bumbung kerana pintu bahagian seterusnya berkunci.

"Suspek kemudian naik semula ke atas bumbung untuk ke tingkat dua dan turun melalui bumbung tingkat dua.

"Lelaki sama kemudian turun semula dan menebuk dinding plywood kayu di tepi tangga untuk terus ke bahagian dalam," katanya.

Beliau berkata, semasa cubaan menebuk dinding kayu pejabat, penggera telah berbunyi menyebabkan suspek melarikan diri tanpa sempat mengambil apa-apa.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan seterusnya melalui CCTV belakang kedai di tempat kejadian menunjukkan suspek telah naik ke atas bumbung melalui tiang Telekom dan turun melalui satu laluan dari bangunan hujung di mana terdapat satu pintu 'roller shutter' kedai hujung yang tidak berkunci," katanya.

Adzli menjelaskan, setelah gagal melakukan rompakan, suspek dipercayai keluar menggunakan laluan sama.

Hasil pemeriksaan selanjutnya mendapati tiada sebarang alat yang digunakan suspek dijumpai di tempat kejadian.

"Suspek berambut panjang, berkulit cerah mengenakan seluar paras betis berbaju kotak dan memakai beg, telah diturunkan dari sebuah motosikal jenis Honda EX5 warna gelap oleh rakan penjenayah tanpa berhentikan motosikal," katanya.

Kerugian dianggarkan RM2000 kesan kerosakan dialami.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.