Empat kluster baharu Covid-19 dikesan

 Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Empat kluster baharu Covid-19 dikesan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini masing-masing satu di Kuala Lumpur, Sabah, Selangor dan Kelantan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, di Kuala Lumpur ia melibatkan Kluser Tapak Bina Sungai Mulia di daerah Titiwangsa dengan kes awal dalam kluster itu dilaporkan positif hari ini hasil saringan tempat kerja di sebuah tapak pembinaan.

“Sehingga kini, sejumlah 124 individu telah disaring, dan 23 kes telah dikesan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagi Kluster Batu Lima, ia melibatkan daerah Kota Kinabalu, Sabah dengan kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada 19 November, hasil saringan individu bergejala dan sehingga kini sejumlah 118 individu disaring dengan 49 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Yayasan pula melibatkan daerah Klang, Selangor dengan kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada 20 November juga hasil saringan individu bergejala dan sehingga hari ini, sejumlah 190 individu disaring dengan 21 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster berkenaan.

Mengenai Kluster Hilir beliau berkata, ia melibatkan empat daerah di Kelantan iaitu di Kota Bharu, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.

“Kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada 24 November hasil saringan individu bergejala dan sehingga kini, sejumlah 975 individu disaring, dengan 21 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, penambahan empat kluster baharu itu menjadikan jumlah kluster yang dilaporkan setakat hari ini adalah sebanyak 359.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan Kluster Megah yang melibatkan daerah Sandakan Sabah ditamatkan hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kluster tamat ialah sebanyak 176.

Sementara jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 183. - Bernama