X

Kindly register in order to view this article
!

ASNB umum agihan pendapatan 3.32 sen seunit ASN Imbang 1

ASNB mengisytiharkan pengagihan pendapatan 3.32 sen seunit untuk ASN Imbang 1 berjumlah RM40.57 juta untuk tahun kewangan berakhir 30 November, 2020.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) hari ini mengisytiharkan pengagihan pendapatan 3.32 sen seunit untuk ASN Imbang (Mixed Asset Balanced) 1 (ASN Imbang 1) berjumlah RM40.57 juta untuk tahun kewangan berakhir 30 November, 2020.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu berkata, ini menyaksikan kadar hasil dividen sebanyak 3.60 peratus berdasarkan jangkaan nilai aset bersih (NAV) dana pada 30 November, 2020.

PNB dalam satu kenyataan hari ini berkata, jumlah pengagihan pendapatan itu dibayar kepada 46,156 pemegang unit dengan pelaburan berjumlah 1.22 bilion unit.

"Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 3.23 peratus untuk tahun kewangan semasa setakat 26 November, 2020, daripada 1,561.73 mata kepada 1,612.11 mata dalam tempoh yang sama.

"Peningkatan itu, walaupun sedikit adalah perkembangan yang baik buat PNB yang sentiasa komited dalam usaha memberikan pulangan yang kompetitif dan perkhidmatan terbaik kepada pemegang unit dalam mengharungi wabak koronavirus (Covid-19) yang berpanjangan ini," katanya.

PNB juga telah melaksanakan beberapa strategi untuk meningkatkan portfolio pelaburan dengan mempelbagaikan portfolio dalam ekuiti antarabangsa dan memberi fokus kepada sektor yang kurang rentan terhadap persekitaran ekonomi semasa.

Pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASN Imbang 1 adalah berdasarkan unit yang dipegang dan NAV setakat 30 November, 2020.

Pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan dikreditkan secara automatik ke dalam akaun mereka pada 1 Disember, 2020.

Urus niaga di semua cawangan ASNB dan ejen seluruh negara telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 27-30 November bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh mengemas kini akaun mereka di portal myASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 Disember, 2020. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!