UMNO bakal bangkitkan semula jawatan TPM: Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO bakal membangkitkan semula kedudukan jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) sebaik sahaja perbahasan pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat selesai.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa ini tiada pemimpin UMNO diberikan jawatan tertinggi dalam Kabinet kecuali satu daripada empat jawatan menteri kanan yang disandang beliau.

Katanya, UMNO memiliki jumlah kerusi terbesar dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Barisan Nasional (BN) ada 42 kerusi dalam Parlimen tetapi kita tidak ada jawatan tertinggi. Menteri Kanan saya seorang yang lain semua daripada Bersatu.

“Jadi adillah kalau UMNO minta jawatan TPM dan wajar diberikan sebagai mana cadangan Biro Politik dan juga Majlis Tertinggi (UMNO),” katanya dalam satu temubual eksklusif bersama akhbar Mingguan Malaysia.

Selain itu, Ahli Parlimen Bera itu berkata, jawatan TPM telah dipersetujui parti mengikut hierarki dengan mengutamakan lima pemimpin teratas bermula Presiden, Timbalan Presiden dan selain tiga Naib Presiden yang lain.

Tambah beliau, pihaknya akan menyerahkan kepada orang ramai untuk menilai pemimpin yang betul-betul layak memegang jawatan berkenaan.

“Bagi UMNO, kita perlukan jawatan TPM tetapi orang yang berada di luar hierarki tidak wajar mengisi jawatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Mereka juga tidak boleh sesuka hati melantik, kena hormat pendirian UMNO. Jadi, saya harap selepas Belanjawan itu nanti, perkara ini dibincangkan semula,” katanya.

Terdahulu, terdapat beberapa nama pemimpin UMNO yang telah disenarai pendek sebagai calon bagi jawatan tertinggi kerajaan, antaranya ialah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah serta Ismail Sabri sendiri.

Selain itu, Naib Presiden UMNO yang juga Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga antara nama yang disenaraikan sebagai calon.