Konflik ketua bahagian: Bersatu Sekijang minta presiden campur tangan

Mohd Zohar (depan, dua dari kanan) bersama ketua cawangan mengadakan sidang akhbar bagi menolak kepimpinan ketua bahagian mereka di Dewan Kecil Kampung Jawa, Segamat hari ini.
Mohd Zohar (depan, dua dari kanan) bersama ketua cawangan mengadakan sidang akhbar bagi menolak kepimpinan ketua bahagian mereka di Dewan Kecil Kampung Jawa, Segamat hari ini.
A
A
A

SEGAMAT - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian Johor Bahru dan Sekijang meminta Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kepimpinan tertinggi campur tangan dalam menyelesaikan konflik ketua bahagian yang berlaku di negeri ini.

Konflik itu berlaku selepas beberapa masalah membabitkan ketua bahagian di Kota Tinggi, Batu Pahat dan Sembrong sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Badan bertindak Bersatu Sekijang, Dr Mohd Zohar Ahmad berkata, ketika ini 13 daripada 18 Cawangan Bersatu Bahagian Sekijang menolak kepimpinan ketua bahagian mereka, Uzzair Ismail.

Menurutnya, 13 cawangan itu yang mewakili lebih 700 ahli mendesak Uzzair meletak jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Sekijang kerana tidak lagi berfungsi apatah lagi memainkan peranannya.

"Uzzair telah hilang kepercayaan dan majoriti sokongan ahli akar umbi. Terdapat 18 cawangan Bersatu dalam bahagian Sekijang, hanya satu cawangan menyokong Uzzair, manakala empat lagi dalam proses untuk menolaknya.

"Sebab lain semua cawangan Bersatu Sekijang itu menolak Uzzair kerana beliau tidak pernah mengambil berat dan mengambil kira permasalahan akar umbi termasuk tidak menganjurkan program," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Pada 11 November lalu, 11 daripada 14 cawangan Bersatu bahagian Johor Bahru mengadakan satu sidang akhbar khas mendesak ketua bahagian mereka, Abdull Bakar meletak jawatan selepas didakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya.

Dr Mohd Zohar berkata, tiada sebarang peruntukan disalurkan ke peringkat cawangan selepas menang Pilihan Raya Umum (PRU) tersebut walaupun difahamkan dana sememangnya ada diberikan kepada bahagian itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jawatankuasa itu sudah menghantar memorandum pada 24 Mei 2019 dan surat berserta bukti salah laku ketua bahagian mereka kepada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Tan Sri Syed Hamid Albar pada 20 Februari lalu tetapi senyap sehingga kini.

Beliau berharap, Muhyiddin yang kini Pengerusi Bersatu Johor selepas dilantik pada 8 September lalu perlu mengambil tindakan terhadap masalah tersebut sebelum nasi menjadi bubur.

"Kami mengharapkan segala pengorbanan kami dihargai dengan memberi keadilan serta dipandang serius demi memulihkan kepercayaan semua ahli Bersatu Sekijang. Ini juga sebagai langkah yang mantap dalam menghadapi PRU," katanya.