Covid-19: 1,309 kes baharu, tiga kematian dicatatkan

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia hari ini masih mencatatkan empat angka kes baharu Covid-19 iaitu 1,309 kes dengan Kuala Lumpur mencatatkan kes tertinggi iaitu 473 kes (95.9 peratus), diikuti Sabah sebanyak 290 kes (22.2 peratus) dan Selangor 238 kes (18.2 peratus).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, angka kes baharu tersebut menjadikan jumlah kes positif dalam negara sebanyak 64,485 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah 11,481 kes.

“Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala 1,308 kes pula adalah merupakan penularan dalam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi jumlah kes sembuh hari ini, sebanyak 1,333 kes pulih menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah 52,647 kes.

Beliau berkata, terdapat tiga kematian melibatkan masing-masing seorang lelaki tempatan di Perak dan Negeri Sembilan dan seorang wanita bukan warganegara di Sabah menjadikan jumlah kumulatif kematian dalam negara 357 kes.

Kes kematian itu melibatkan lelaki tempatan berusia 64 tahun yang meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi, dislipidemia dan penyakit hati kronik.

Kes kematian kedua pula melibatkan seorang lagi lelaki tempatan berumur 89 tahun dan mempunyai sejarah penyakit kanser perut telah disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban.

Kes kematian ketiga melibatkan seorang wanita bukan warganegara berusia 53 tahun yang disahkan meninggal dunia di Hospital Tawau dan mempunyai sejarah penyakit kencing manis.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 116 kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 42 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Terdapat empat kluster baharu hari ini iaitu Kluster Tapak Bina Sungai Mulia di Kuala Lumpur, Kluster Batu Lima di Sabah, Kluster Yayasan di Selangor dan Kluster Hilir di Kelantan. - Bernama