Nasib dua beranak hidap penyakit kronik terbela

Rumah baharu untuk keluarga Mohd Rizal dibina bersebelahan bangsal yang dihuni mereka sejak lebih dua tahun lalu.
Rumah baharu untuk keluarga Mohd Rizal dibina bersebelahan bangsal yang dihuni mereka sejak lebih dua tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Diduga dengan penyakit kronik dan terpaksa tinggal di bangsal cukup daif bukan alasan bagi dua beranak dari Kampung Permatang Gelugor, Cherok Paloh di sini untuk hidup atas belas ihsan orang lain.

Mereka cukup cekal menjalani kehidupan biarpun dalam keadaan serba kekurangan.

Bagi Mohd Rizal Abdul Rahman, 30 yang menghidap masalah buah pinggang, dia tetap berusaha untuk mengubah kehidupan biarpun ketika ini hanya membantu ibunya, Zalila Kassim, 64 menjual kuih untuk menampung kehidupan.

Menurutnya, beban dipikul agak berat apabila ibunya yang menghidap kanser paru-paru kronik kini sedang menjalani rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Pemegang ijazah Seni Bina Landskap dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, nasibnya mungkin tidak sebaik rakan-rakan lain kerana masalah kesihatan menghalangnya untuk mencari pekerjaan yang lebih baik dan sesuai dengan kelulusan dimiliki.

"Saya buat macam-macam pekerjaan sampingan untuk menampung kehidupan sebelum ini, namun disebabkan masalah kesihatan dihadapi tidak semua kerja itu dapat diteruskan.

"Alhamdulillah, biarpun kini terpaksa membuat dan menjual kuih, ia sedikit sebanyak dapat menampung keperluan kehidupan kami ketika ini," katanya.

Mohd Rizal berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili ibunya menerima penyerahan Rumah Asnaf Amal sumbangan Yayasan Amal Negeri Pahang di sini.

Artikel Berkaitan:

Penyerahan rumah itu disempurnakan Pengerusi Yayasan Amal Negeri Pahang, Johari Abdul Wahid.

Mohd Rizal menerima replika kunci rumah baharunya yang diserahkan Johari pada majlis penyerahan hari ini.
Mohd Rizal menerima replika kunci rumah baharunya yang diserahkan Johari pada majlis penyerahan hari ini.

Turut hadir, pengurus projek, Razak Mat Zin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahaya dan penyumbang.

Mohd Rizal berkata, dia dan keluarga bersyukur atas sumbangan rumah yang jauh lebih selesa berbanding bangsal yang dihuni sejak lebih dua tahun lalu.

"Seperti orang lain juga, saya dan keluarga memang mengimpikan sebuah rumah yang selesa, namun apakan daya kami tidak mampu untuk membinanya.

"Walaupun sebelum ini terpaksa tinggal di bangsal yang daif, kami sudah bersyukur kerana sekurang-kurang masih ada tempat untuk berteduh," katanya.

Katanya, seorang lagi adiknya, Umi Nasuha, 24, turut tinggal bersama, manakala adik-beradiknya yang lain sudah ada keluarga dan kehidupan masing-masing.

"Syukur sangat-sangat kerana sumbangan rumah ini cukup bermakna buat kami sekeluarga," katanya.

Sementara itu, Razak berkata, pembinaan dan penyerahan rumah kepada keluarga Mohd Rizal merupakan projek perintis Rumah Asnaf Amal melalui kerjasama Yayasan Amal Negeri Pahang.

Menurutnya, rumah dua bilik dengan kos RM36,500 itu dibina melalui sumbangan orang ramai.

Beliau berkata, Yayasan Amal Negeri Pahang membantu dengan mendahului sebahagian bayaran bagi memastikan rumah tersebut dapat disiapkan dan diserahkan kepada penerima mengikut masa yang ditetapkan.

"Alhamdulillah, kontraktor dilantik untuk membina rumah ini berjaya menyiapkan dalam tempoh sebulan dan majlis penyerahannya dapat disempurnakan hari ini," katanya.

Katanya, projek Rumah Asnaf Amal itu akan diperluaskan supaya lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu.

"Orang ramai yang berhasrat untuk turut sama membantu dalam projek ini boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun bank 5560-1106-8015 (Maybank) atas nama Yayasan Amal-Tabung Bencana dan Kebajikan," katanya.