Mangsa banjir di Kemaman bimbang gelombang kedua banjir

Ibrahim mengemas barang-barang yang diselamatkan di ruang atas rumahnya di Felda Seberang Tayor, Kemaman.
Ibrahim mengemas barang-barang yang diselamatkan di ruang atas rumahnya di Felda Seberang Tayor, Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Walaupun sebahagian mangsa banjir di daerah ini sudah dibenarkan pulang tetapi mereka masih bimbang berdepan gelombang kedua bencana itu.

Penduduk Felda Seberang Tayor, Noor Afiza Ibrahim, 37, berkata, kebiasaannya kediaman di kawasan itu akan dinaiki air sebanyak tiga kali sebelum pulih sepenuhnya menjelang tahun depan.

"Gelombang pertama berlaku selama dua hari dua malam. Walaupun air telah surut dan ada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) dibenarkan pulang, kami semua di sini masih bimbang dengan gelombang kedua banjir.

"Saya harap ia tidak berlaku secara mengejut seperti yang berlaku dua hari lepas," katanya.

Noor Afiza berkata, gelombang pertama banjir kali ini tidak diduga kerana kediamannya dinaiki air dengan cepat dalam tempoh 20 minit.

"Dalam masa 20 minit air sudah penuh di bahagian bawah dalam rumah.

"Mujurlah bapa saya ada bina setingkat lagi kediaman untuk dijadikan sebagai rumah banjir. Kalau air naik kami akan selamatkan barang-barang ke ruang itu," katanya.

Sementara itu, bapa Noor Afiza, Ibrahim Jusoh, 70, berkata, dia telah menyiapkan rumah banjir itu sejak enam tahun lalu bagi memudahkan mereka sekeluarga menghadapi banjir.

Artikel Berkaitan:

Nor Afiza
Nor Afiza

Katanya, isterinya, Khatijah Hassan, 65, menghidapi penyakit kencing manis dan sukar bergerak.

"Saya bimbang kalau banjir mengejut kerana sukar untuk bawa isteri ke PPS. Walaupun sudah ada rumah banjir saya masih bimbang air naik dengan cepat.

"Kawasan kediaman saya berada di tengah laluan arus dan banjir kali ini agak deras. Saya harap gelombang seterusnya terkawal dan tidak datang mengejut seperti sebelum ini," katanya.

Berdasarkan rekod sehingga lewat malam tadi seramai 1,500 mangsa banjir ditempatkan di lapan buah PPS di seluruh Kemaman.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 53 mangsa di dua buah PPS sehingga jam 2 petang tadi.

Gelombang pertama banjir melanda daerah ini Jumaat lalu dengan seramai 279 mangsa daripada 79 keluarga yang direkodkan sehingga jam 4 petang Jumaat lalu.