KKMM tambah baik maklumat Covid-19 dalam Tamil, Mandarin

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota menyampaikan sumbangan pada Program Indera Mahkota Prihatin Bantuan Kebajikan Komuniti Cina Indera Mahkota di sini, hari ini. - Foto Bernama
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota menyampaikan sumbangan pada Program Indera Mahkota Prihatin Bantuan Kebajikan Komuniti Cina Indera Mahkota di sini, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang menambah baik penyampaian mesej mengenai pandemik koronavirus (Covid-19) khususnya dalam bahasa Mandarin dan Tamil, kata Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata berdasarkan maklumat yang diterima, terdapat sedikit jurang dari segi penyampaian berita dan maklumat melibatkan dua bahasa berkenaan berbanding bahasa Melayu.

“Kami sedang perbaiki mesej yang disampaikan dalam bahasa Mandarin dan Tamil, begitu juga bagi penduduk di Sabah dan Sarawak, kita juga sedang menambah baik penyampaian dalam bahasa Kadazan dan Iban.

“Malah, kita juga sedar rakyat Malaysia sudah mula letih dan tertekan untuk berhadapan dengan pandemik ini, justeru mesej yang KKMM nak sampaikan juga akan diperbaharui dan ditambah baik dari masa ke masa," katanya pada sidang media selepas Program Indera Mahkota Prihatin, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, pihaknya turut mempertingkatkan lagi penyampaian berita melibatkan orang kurang upaya (OKU), selain membaiki penyaluran maklumat kepada warga asing dengan menggunakan perkhidmatan penterjemah.

"Untuk OKU pun kita kena baiki mesej yang nak disampaikan, misalnya berita RTM, sekiranya ada jurubahasa isyarat, latar belakang di televisyen warna merah, (namun) kita dapat maklumat warna merah itu tidak sesuai untuk OKU, biru lebih sesuai, jadi kita akan ubah.

"Bagi pekerja asing, tidak semua mereka faham bahasa yang kita gunakan, jadi kami gunakan penterjemah untuk bantu penyampaian maklumat, antaranya melibatkan bahasa Nepal dan Rohingya," katanya.

Sementara itu, Saifuddin mengingatkan majikan supaya memainkan peranan berhubung penyediaan tempat tinggal warga asing yang dilihat menjadi antara faktor penyebaran Covid-19 secara cepat membabitkan golongan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menyentuh mengenai vaksin Covid-19, Saifuddin berkata, kerajaan bersedia bekerjasama dan berunding dengan pelbagai pihak dalam usaha mendapatkan vaksin.