Anwar pertahan tindakan PH sokong Belanjawan 2021 peringkat dasar

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Kompromi Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Belanjawan 2021 adalah kemenangan untuk pihak pembangkang dan rakyat.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada sebab untuk menolak Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat Khamis lalu selepas cadangan yang dapat membantu rakyat telah dipertimbangkan.

"Seminggu sebelum (pengundian), saya keluarkan kenyataan. Jika cadangan kami tidak dipenuhi, kami akan tolak Belanjawan 2021 secara keseluruhan. Apa yang berlaku ialah Menteri Kewangan membuat kompromi besar.

"Jika kompromi dibuat membantu mereka yang menyimpan wang di bank, nelayan, petani, penjawat awam, petugas barisan hadapan yang melawan Covid-19, mengapa kita perlu tolak (belanjawan)?

"Bagaimana kita akan jelaskan kepada orang ramai? Ini yang mereka mahu. Tengku Zafrul akur (kepada desakan PH). Adakah kita masih tolak? Atas dasar apa?" katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama portal The Vibes memetik laporan sebuah portal hari ini.

Pada penggulungan RUU Perbekalan 2012 (peringkat dasar) Khamis lalu, antara perubahan yang dibuat ialah meluaskan program pengeluaran akaun satu KWSP i-Sinar merangkumi semua pencarum yang terjejas pendapatan dengan peningkatan had keluar kepada RM10,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar perjelas sebab tidak sokong undi belah bahagi

Artikel Berkaitan:

Turut diumumkan moratorium pinjaman bank secara automatik kepada golongan B40 dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Anwar menambah, di peringkat dasar, pembangkang dari satu segi telah menang kerana banyak cadangan mereka diterima.

Pada masa sama katanya, kompromi juga menunjukkan kerajaan tidak bersedia berdepan Parlimen dengan belanjawan asal.

"Bagi saya, kita boleh dikatakan menang kerana banyak permintaan kita termasuk yang dibuat ahli Parlimen kerajaan telah diterima. Walaupun tidak sama tetapi ada sebahagiannya.

"Secara (undi) suara kita menolak tetapi tidak menggesa belah bahagi untuk memberi laluan kepada perbahasan di peringkat jawatankuasa. Keputusan besar adalah pada 15 Disember, untuk menerima atau menolak belanjawan. Itu pusingan terakhir," katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Port Dickson itu menerima kritikan dari dalam PH sendiri setelah arahan saat akhir agar gabungan itu tidak meneruskan undi belah bahagi.

Bagaimanapun, beliau dalam kenyataan pada Khamis berikrar pihaknya akan meminta undi belah bahagi diadakan semasa peringkat jawatankuasa ketika anggota parlimen membahaskan perbelanjaan setiap kementerian.

Jelas beliau, PH tetap menentang belanjawan yang dibentangkan Perikatan Nasional (PN) atas sebab beberapa isu utama yang tidak dijawab, seperti perbelanjaan 'tidak realistik'.