Syarikat langgar SOP akan diarah tutup serta-merta

Mohamed Azmin Ali. - Foto Bernama
Mohamed Azmin Ali. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mana-mana syarikat yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan berdepan dengan tindakan pembatalan kebenaran beroperasi serta-merta selain dikenakan tindakan undang-undang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, satu surat mengenai arahan pematuhan SOP telah dikeluarkan pihaknya kepada 171 persatuan dan dewan perniagaan pada 26 November lalu.

“Surat tersebut sebagai membuktikan bahawa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri memandang serius kepada aspek pematuhan SOP berikutan peningkatan kes baharu koronavirus (Covid-19) ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Tengah Hari bersama Pertubuhan Pewaris Anak-anak Melayu Gombak dan Penggerak Komuniti Tempatan Gombak di sini hari ini.

Memperincikan kandungan surat tersebut, Mohamed Azmin berkata, syarikat yang didapati melanggar SOP dan tidak memberikan kerjasama kepada Kementerian Kesihatan (KKM) akan dikenakan tindakan menutup premis dan kilang berkenaan di bawah Seksyen 18 1 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Soalnya sekarang adalah pematuhan SOP serta tanggungjawab majikan menanggung kos ujian saringan Covid-19 dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, pemain industri perlu memainkan peranan dengan menyumbang usaha ke arah memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikawal.

“Jangan letak beban kepada kerajaan sahaja. Industri telah meraih keuntungan yang besar maka mereka juga perlu menyumbang kepada usaha mengekang penularan wabak Covid-19 dalam kalangan pekerja khususnya warga asing,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Mohamed Azmin menyampaikan sumbangan kepada 25 penerima terdiri daripada pelajar golongan B40 dan masyarakat Orang Asli, koperasi sekolah serta pengusaha perusahaan kecil.