Dua minggu aktif samun, polis tahan empat lelaki

Antara barang yang dirampas polis selepas menahan empat lelaki yang dipercayai terlibat geng samun di Klang.
Antara barang yang dirampas polis selepas menahan empat lelaki yang dipercayai terlibat geng samun di Klang.
A
A
A

KLANG - Kegiatan geng samun yang baru aktif sejak dua minggu lalu tumpas selepas tertangkapnya empat lelaki di sekitar daerah ini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek pertama ditahan di sebuah rumah di Taman Sentosa kira-kira jam 5.30 petang manakala tiga lagi ditahan di sebuah rumah di Jalan Meru setengah jam kemudian.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Axia, sepasang pakaian celoreng Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), sehelai baju askar dan empat telefon bimbit.

"Semakan mendapati tiga daripada suspek memiliki rekod lampau berkait kes jenayah dan dadah.

"Siasatan awal mendapati tiga suspek mengaku terlibat dalam kes samun warga Nepal di Bayu Perdana, Klang pada hari yang sama sebelum suspek diberkas. Dalam kejadian itu, mangsa mengalami kerugian wang tunai RM270, kad ATM dan dua telefon bimbit," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Polis merampas sebuah kereta Perodua Axia susulan tumpasnya geng samun di Klang, baru-baru ini.
Polis merampas sebuah kereta Perodua Axia susulan tumpasnya geng samun di Klang, baru-baru ini.

Beliau berkata, siasatan juga mengesahkan pakaian Rela itu diperoleh daripada salah seorang suspek yang mencurinya daripada bapa saudaranya.

"Modus operandi suspek ialah menyewa kenderaan dan mensasarkan mangsa warga asing yang berjalan di kawasan sunyi untuk melakukan samun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kesemua suspek berusia lingkungan 18 hingga 27 tahun kini direman enam hari sehingga Rabu depan untuk siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.