Majikan perlu main peranan tangani penularan Covid-19: Dr Noor Hisham

DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meminta majikan di negara ini memainkan peranan lebih besar dalam usaha menangani penularan jangkitan koronavirus (Covid-19) dalam kalangan pekerja bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada penularan penyakit berjangkit dalam kalangan pekerja seperti isu tempat penginapan, kebersihan kendiri dan persekitaran di tempat tinggal serta tempat kerja.

“Selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), masalah penginapan pekerja bukan warganegara yang sempit dan sesak perlu ditangani segera bagi memastikan ia tidak menjadi punca penularan jangkitan Covid-19 dan lain-lain penyakit berjangkit.

“KKM juga menyambut baik tindakan penguatkuasaan Akta 446 ini oleh pihak Kementerian Sumber Manusia ke atas pihak majikan yang gagal mematuhi ketetapan akta tersebut,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, beliau sempat meninjau aktiviti di lapangan bagi Kluster Tapak Bina Awan Baru pada tengah hari tadi.

“Sehingga 28 November 2020 (semalam) jam 8 malam, seramai 482 individu telah disaring di mana 410 kes telah dilaporkan positif.

“Tapak bina ini telah ditutup di bawah seksyen 18 (1) (f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) pada 27 November 2020 bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi,” katanya.

Menurutnya, pihaknya memandang serius peningkatan penularan jangkitan Covid-19 di tempat kerja lebih-lebih lagi dalam kalangan pekerja bukan warganegara.

Artikel Berkaitan:

“Tenaga kerja merupakan aset berharga bagi sesebuah syarikat mahupun organisasi. Ini termasuklah pekerja warganegara mahu pun bukan warganegara,” katanya.