X

Kindly register in order to view this article
!

Lumpur tebal sukarkan penduduk bersihkan rumah

Mangsa banjir, Asmah Yaakop, 68, mengangkat barangan dapur yang diseliputi lumpur untuk dibersihkan selepas rumahnya dilanda banjir di Kampung Teladas, Air Putih, hari ini.Kampung tersebut dilanda banjir pada Jumaat lepas dan membabitkan kira-kira 150 buah rumah.- Foto Bernama
A
A

KEMAMAN - Penat menyelamatkan barangan dari air banjir belum hilang, kini penduduk Kampung Teladas dekat Air Putih di sini terpaksa bekerja keras untuk membersihkan barangan yang rosak kesan lumpur di rumah mereka.

Tinjauan di kampung itu mendapati penduduk pulang sebentar ke rumah setelah ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berdekatan bagi memulakan proses pembersihan seawal jam 7 pagi berikutan cuaca yang semakin baik hari ini.

Seorang penduduk, Kamaruddin Sulong, 61 berkata, dia tidak menyangka impak banjir kali ini agak teruk memandangkan kali terakhir rumahnya ditenggelami banjir pada tahun 2014.

“Air tidak pernah naik setinggi ini, kerana kebiasaannya hanya jambatan berhampiran sahaja tenggelam. Mujurlah saya ada bina loteng kecil untuk meletakkan barangan seperti kain baju dan dokumen penting lain, kalau tidak habis semuanya rosak kena lumpur macam dulu.

“Namun, peralatan memasak macam kuali dan pinggan mangkuk memang kena sental kuat sebab berlumpur, kerana air naik setinggi leher dewasa di bahagian dapur. Bahagian ruang tamu dan bilik tidur yang dibina agak tinggi juga tetap dinaiki air paras betis,” katanya yang membersihkan rumah bersama isterinya, Zurni Ngah, 57, memandangkan satu-satunya anak mereka tidak dapat membantu kerana bekerja di Johori.

Pembantu Awam Unit Kawalan Vektor, Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Mohd Faizuddin Dzulkifli melakukan semburan bertujuan untuk kawalan penyakit selepas banjir ketika tinjauan di Kampung Teladas, Air Putih hari ini. Kawalan penyakit dilakukan untuk menghalang haiwan seperti lalat, lipas dan nyamuk membiak di kawasan-kawasan yang dilanda banjir. Kampung tersebut dilanda banjir pada Jumaat lepas dan membabitkan kira-kira 150 buah rumah. - Foto Bernama
Pembantu Awam Unit Kawalan Vektor, Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Mohd Faizuddin Dzulkifli melakukan semburan bertujuan untuk kawalan penyakit selepas banjir ketika tinjauan di Kampung Teladas, Air Putih hari ini. Kawalan penyakit dilakukan untuk menghalang haiwan seperti lalat, lipas dan nyamuk membiak di kawasan-kawasan yang dilanda banjir. Kampung tersebut dilanda banjir pada Jumaat lepas dan membabitkan kira-kira 150 buah rumah. - Foto Bernama

Ketika ini masih terdapat 729 mangsa banjir daripada 175 keluarga berada di lima PPS di daerah Kemaman.

Seorang lagi penduduk, Nurhamiza Mahasan, 31, pula terpaksa meminta pertolongan saudara maranya yang berdekatan untuk membersihkan rumah, memandangkan beliau baharu sahaja selesai menjalani pembedahan kecil akibat keguguran pada 2 November lalu.

“Masa air naik Jumaat pagi tu, saya hanya bertiga di rumah bersama suami Mohd Rizuan Kasman, 31 dan anak Mohd Haris Raihan, 4.

“Situasi cemas ketika itu menyebabkan saya 'terlupa' sedang berpantang, dalam kepala hanya fikir nak angkat barang macam peti ais ke tempat lebih tinggi. Bila berada di (PPS), baru terasa nyeri dan sakit di bahagian peranakan, mujurlah ada jururawat yang bantu beri rawatan awal dan sedikit ubat,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Anita Sulong, 50 pula berkata, dia terpaksa meminta bantuan dua anak saudaranya iaitu Azwa Natasha Md Ramzi, 19, dan adiknya, Azwanisza, 16, kerana kesan lumpur yang tebal menyukarkan proses pembersihan.

“Banjir tahun 2014 dulu, lama juga ambil masa nak bersihkan rumah seperti sedia kala. Kali ni, tak tahulah macam mana.

“Mungkin tunggu musim tengkujuh habis pada Februari depan, baru susun atur perabot dan rumah seperti sediakala,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Teladas, Yazid Yasin berkata, sebanyak 20 rumah ditenggelami air hingga paras bumbung, manakala lebih 130 rumah yang lain hanya ditenggelami air paras pinggang hingga leher, mengikut ketinggian di kawasan rumah mereka.

“Kita maklum ada sesetengah penduduk yang mengalami kesukaran hendak membersihkan rumah, jadi ada sukarelawan yang akan membantu antaranya Rela, Unit Amal Pas, dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!