Orang Asli bina bangsal jadikan sebagai pusat perpindahan sementara

Bangsal yang dibina sendiri oleh Orang Asli Batik, Kampung Pasir Linggi, diatas bukit sebagai persiapan perpindahan banjir musim tengkujuh. - Foto Bernama
Bangsal yang dibina sendiri oleh Orang Asli Batik, Kampung Pasir Linggi, diatas bukit sebagai persiapan perpindahan banjir musim tengkujuh. - Foto Bernama
A
A
A

GUA MUSANG - Seramai 500 penduduk Orang Asli Batik di Kampung Pasir Linggi, di sini mengambil inisiatif membina bangsal sebagai 'pusat perpindahan sementara' mereka apabila berlakunya banjir.

Komuniti tersebut mula membina sebanyak 50 bangsal sejak empat hari lalu di kawasan atas bukit kira-kira satu kilometer dari kampung berkenaan.

Tok Batin Kampung Pasir Linggi, Mohd Azman Talib berkata, penduduk bersepakat membina bangsal itu apabila berasa bimbang tentang kenaikan air sungai yang sudah melimpahi tebing berulang kali, selain cuaca hujan yang berterusan sejak beberapa hari lalu.

“Persiapan tempat perpindahan atas bukit ini dilakukan pada musim tengkujuh setiap akhir tahun, selain mengambil iktibar peristiwa Bah Kuning pada Disember 2014.

“Selepas kejadian banjir besar itu, penduduk mula mengambil ingatan dengan membina bangsal perpindahan lebih awal untuk selamatkan ahli keluarga,” katanya di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Penghulu Kampung Pasir Linggi, Nasir Ismail pula berkata, walaupun terdapat satu pusat perpindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi berdekatan kampung berkenaan, namun sukar bagi penduduk kampung untuk berpindah ke PPS itu.

“Sememangnya ada PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi, tetapi kerana ia juga terletak di tempat rendah maka ia mudah dinaiki air dan penduduk kampung terpaksa meredah banjir untuk berpindah ke bangunan sekolah berkenaan.

“Jadi, pilihan yang sesuai dan selamat adalah lebih baik penduduk berusaha sendiri membina bangsal atas bukit, selain jaraknya yang tidak jauh daripada kediaman asal mereka,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: