Banjir termenung resahkan penduduk

Keadaan banjir termenung yang masih belum surut di Taman Meru Utama.
Keadaan banjir termenung yang masih belum surut di Taman Meru Utama.
A
A
A

KLANG - Penduduk sekitar Jalan Teratai di sini buntu memikirkan masalah banjir termenung yang dihadapi mereka sejak enam tahun lalu.

Mereka juga mendakwa beberapa kawasan taman perumahan berhampiran jalan berkenaan turut mengalami masalah sama dan banjir juga mengambil masa kira-kira lima hari untuk surut sepenuhnya jika hujan tidak berterusan.

Penduduk Jalan Teratai, Ahmad Faizan Pardi, 42, berkata, lebih membimbangkan apabila berlaku hujan lebat dan keadaan itu turut menggusarkan penduduk di beberapa kawasan berdekatan.

"Selain taman ini, Taman Daya Maju, Taman Bayu, Taman Meru Jaya dan Taman Meru Utama turut berdepan masalah sama sekiranya hujan dalam tempoh dua jam tanpa henti," katanya kepada Sinar Harian.

Ahmad Faizan mendakwa, Jumaat lalu, penduduk sekali lagi terpaksa berdepan banjir dan sehingga kini masih belum surut sepenuhnya.

Katanya, dalam tempoh setahun, kira-kira 15 kali keadaan itu berulang.

AHMAD FAIZAN
AHMAD FAIZAN

"Sudah beberapa kali kami membuat aduan kepada pihak berkaitan namun masih tiada penyelesaian dan sampai bila perkara ini harus berlaku," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, seorang penduduk lain, Chow Choon Hooi, 45, berkata, laporan berhubung masalah itu pernah diajukan kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK), wakil rakyat, Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) serta beberapa agensi berkaitan lain namun tiada langkah penyelesaian yang jelas berhubung isu itu.

Katanya, penduduk terpaksa menanggung kerugian yang tinggi ekoran kerosakan harta benda.

"Jika hujan lebat kami akan mula bimbang dengan masalah banjir dan saya amat merayu masalah ini dapat diatasi segera," katanya.