Nilai pelaburan Johor menurun RM5.74 bilion

MOHD IZHAR AHMAD
MOHD IZHAR AHMAD
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Nilai pelaburan yang diperoleh Johor pada tahun ini merekodkan penurunan sebanyak RM5.74 bilion berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata, penurunan nilai pelaburan disebabkan pintu sempadan antarabangsa ditutup susulan wabak koronavirus (Covid-19).

"Penutupan sempadan antarabangsa akibat Covid-19 memberi kesan buruk kepada sektor pelaburan di negeri ini," katanya ketika menjawab soalan Ee Chin Li (DAP- Tangkak) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Namun menurut Izhar, sehingga September tahun ini Johor berjaya menerima nilai pelaburan dalam sektor pengilangan berjumlah sebanyak RM 5.71 bilion.

"Daripada jumlah pelaburan tersebut, nilai pelaburan asing yang berjaya dibawa masuk adalah sebanyak RM3.39 bilion, manakala pelaburan domestik pula sebanyak RM2.32 bilion," katanya.

Beliau berkata, bagi sektor perkhidmatan pula, jumlah pelaburan mencatatkan sebanyak RM401.98 juta melibatkan perkhidmatan hotel dan pelancongan serta sokongan perkhidmatan yang lain.

"Nilai pelaburan yang telah berjaya dibawa masuk dari Januari sehingga September adalah sektor peralatan pengangkutan mencatatkan RM1.168 bilion, mesin dan kelengkapan (RM716.23 juta), elektrik dan elektronik (RM661 juta), tekstil dan produk tekstil (RM631.61 juta) dan produk mineral bukan metalik sebanyak RM 392.37 juta.

"Berkenaan perbandingan nilai pelaburan, pada tahun 2019 Johor telah berjaya mencatatkan nilai pelaburan sektor pembuatan/pengilangan sebanyak RM11.45 bilion di mana nilai pelaburan asing adalah sebanyak RM6.53 bilion, manakala pelaburan domestik adalah sebanyak RM 4.91 bilion," katanya.

Artikel Berkaitan: