Pemergian Sarjan Baharuddin kehilangan besar: Raja Muda Perlis

Tuanku Syed Faizuddin (tiga, kanan) menyerahkan mesin penapis air untuk kegunaan anggota PGA di Pos PGA Bukit Putih,di sini semalam.
Tuanku Syed Faizuddin (tiga, kanan) menyerahkan mesin penapis air untuk kegunaan anggota PGA di Pos PGA Bukit Putih,di sini semalam.
A
A
A

KUALA PERLIS - Pemergian anggota PGA, mendiang Sarjan Baharuddin Ramli merupakan kehilangan besar kepada semua pihak malah pengorbanan dan jasa yang dicurahkan akan sentiasa dikenang.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, mendiang merupakan wira negara yang sanggup menggadaikan nyawa untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Baginda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut merakamkan ucapan takziah balu mendiang Baharuddin, Relow Ko atas pemergian suaminya..

"Saya berharap keluarga mendiang akan terus tabah mengharungi ujian kehilangan ahli keluarga mereka," titah baginda ketika Majlis Penyerahan Mesin Penapis Air untuk kegunaan anggota PGA di Pos PGA Bukit Putih, di sini semalam.

Dalam kejadian pada jam 3.10 pagi Selasa lalu Baharuddin, 54, meninggal dunia di lokasi selepas di tembak di Padang Besar ketika sedang bertugas.

Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen turut mengutuskan ucapan takziah kepada Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji serta seluruh anggota Briged Utara Pasukan Gerakan Am Polis DiRaja Malaysia terutama Pasukan Batalion 3 PGA yang diketuai oleh Superitendan Rosman Kasman atas pemergian mendiang Sarjan Baharuddin.

Di kesempatan tersebut juga, baginda berdua menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih di atas komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh seluruh anggota Briged Utara PGA dalam menjalankan tugas mempertahankan kedaulatan negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes tembak di sempadan: Raja Muda Perlis rakam ucap takziah

Artikel Berkaitan:

Baginda turut mendoakan seluruh warga kerja serta keluarga anggota PGA sentiasa berada dalam keadaan sihat, dilanjutkan usia dan dimurahkan rezeki serta dipermudahkan segala urusan.

Terdahulu, baginda menyempurnakan majlis penyerahan mesin penapis air sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk kegunaan para anggota PGA.

Hadir mengiringi baginda sempena program MAIPs Peduli ke-67 di perkarangan kampus Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Kuala Perlis itu ialah Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Sebanyak tiga buah keluarga asnaf terpilih membabitkan anak kariah Masjid Saidina Abu Bakar Kampung Seberang Ramai di sini menerima sumbangan bantuan agihan zakat MAIPs.