Zidane risau aksi tidak konsisten Real

Reaksi kecewa pemain Real selepas diaibkan Alaves.
Reaksi kecewa pemain Real selepas diaibkan Alaves.
A
A
A

PENGENDALI Real Madrid, Zinedine Zidane bagaikan hilang kata-kata untuk mengambarkan persembahan kurang bermaya pasukannya selepas tewas kepada Deportivo Alaves dalam saingan La Liga di Estadio Alfredo Di Stefano, awal pagi tadi.

Menurutnya, dia tidak tahu punca pemainnya beraksi di bawah keupayaan sebenar selain turut menyifatkan Los Blancos gagal beraksi konsisten sejak permulaan musim ini.

"Saya tidak tahu macam mana nak berikan penjelasan. Hari ini kami bermain dengan sangat teruk. Selepas lawan menjaringkan gol seawal minit kelima, segalanya amat sukar buat kami.

"Khamis lalu,dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Inter Milan, kami bermain agak baik tetapi hari ini sangat berbeza. Ia adalah realiti. Apa yang kami perlu buat sekarang adalah teruskan berusaha dan cuba untuk menjadi konsisten dalam perlawanan akan datang," katanya.

Dalam perlawanan tersebut, Lucas Perez membuka jaringan buat Alaves menerusi sepakan penalti pada minit kelima sebelum Joselu menggandakan kedudukan empat minit selepas babak kedua bersambung.Real hanya mampu merapatkan kedudukan menerusi Casamero pada minit ke-86.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Real mengalami kekalahan ketiga musim ini- antara yang terburuk dalam sejarah kelab tersebut.

Dalam pada itu, Zidane menjelaskan dia akan mencari jalan penyelesaian terbaik mengeluarkan Real daripada persembahan hambar dan tidak konsisten tersebut.

"Saya tidak akan nyatakan di sini apa yang saya akan buat. Saya tidak hanya akan melihat kepada sisi negatif tetapi juga perlu melihat apa perkara positif yang telah kami lakukan. Tetapi, sejujurnya saya amat risau dengan prestasi Real sekarang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kekalahan tersebut bukanlah satu-satunya perkara buruk yang menimpa Real sebaliknya gergasi Sepanyol itu turut dipalit dengan kecederaan berulang yang menimpa pemain sayapnya, Eden Hazard dalam perlawanan itu.

"Dia terpaksa dikeluarkan pada separuh masa pertama.Saya rasa kecederaannya tidak serius, namun kami akan melihat keadaan dia dalam beberapa hari ini," kata Zidane.