Empat PPS dibuka di Pulau Pinang

Hujan lebat selama lima jam menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di daerah SPU dan SPT.
Hujan lebat selama lima jam menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di daerah SPU dan SPT.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 89 mangsa banjir susulan banjir kilat di beberapa kawasan di negeri ini selepas hujan lebat lebih lima jam semalam.

Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata, selain hujan sejak jam 3 petang itu, keadaan air pasang besar turut menyebabkan air naik dengan cepat di beberapa kawasan rendah di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT).

Menurutnya, susulan daripada itu, empat PPS dibuka membabitkan dua di SPU iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Jaya dan Sekolah Agama Labuh Banting manakala dua lagi di SPT iaitu di SK Sri Penanti serta Dewan Orang Ramai Bukit Teh.

"Banjir kilat mula melanda kawanan-kawasan ini bermula jam 9 malam namun PPS mula dibuka tiga jam kemudian selepas air tidak surut dan keadaan tersebut dilihat membahayakan penduduk sekitar.

"Sehingga pagi ini, PPS Sekolah Agama Labuh Banting telah menempatkan 42 individu daripada 10 keluarga manakala di PPS SK Pengkalan Jaya pula lapan keluarga dengan membabitkan 25 mangsa banjir.

"Sementara itu, di PPS Dewan Orang Ramai Bukit Teh pula, terdapat 15 orang daripada empat keluarga manakala tujuh orang dari dua keluarga di PPS Sri Penanti," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Tambahnya, banjir akan berlaku sekiranya hujan lebat di beberapa kawasan selain faktor kesan pergerakan air daripada Kedah yang menghubungi lembangan sungai di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Empat PPS dibuka di daerah SPU dan SPT untuk menempatkan 89 mangsa banjir.
Empat PPS dibuka di daerah SPU dan SPT untuk menempatkan 89 mangsa banjir.

"Ketika ini cuaca mendung di beberapa kawasan dan air laut pasang sepenuhnya akan bermula jam 1 tengah hari ini. Ia akan menyebabkan kawan rendah dinaiki air (banjir kilat) jika terdapat hujan lebat.

"Pihak polis dan bomba akan sentiasa memantau lokasi 'hot spot' banjir dan jalan-jalan utama supaya tindakan segera dapat diambil jika berlaku banjir kilat," katanya.

Sementara itu, seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) dan dua kanak-kanak berjaya diselamatkan dalam kejadian banjir kilat di Machang Bubok, di sini malam tadi.

Pegawai Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Shariff Md Rais berkata, lelaki OKU tersebut diselamatkan ketika terperangkap di rumahnya di Taman Jambu sementara dua kanak-kanak tersebut berada di rumah pengasuh mereka di Kampung Berangan 9.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.40 malam dan terus ke lokasi kejadian untuk tujuan menyelamat.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kita mendapati punca banjir kilat adalah disebabkan hujan lebat dan limpahan air sungai. Kejadian tersebut menyebabkan air telah masuk ke dalam rumah penduduk dengan kedalaman sehingga 0.5 meter.

"Bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki OKU berusia lingkungan 40-an dan dua kanak-kanak berusia 4 dan 12 tahun yang terperangkap dalam banjir tersebut," katanya.

Tambahnya, operasi menyelamat melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam serta Bandar Perda tamat pada jam 9.48 malam.