Jawatan TPM: UMNO tak beri tekanan kepada Muhyiddin

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

BAGAN DATUK - UMNO tidak memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sebarang pelantikan jawatan di dalam Kabinet termasuk Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui jawatan TPM tersebut pernah dibincangkan, namun ia diserahkan kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan.

Beliau berkata, UMNO menyedari kuasa melantik ahli Kabinet merupakan hak Perdana Menteri.

"Sesebuah parti sama ada yang bergabung atau mendokong (kerajaan) tidak seharusnya memberikan tekanan kepada Perdana Menteri kerana selain daripada hak mutlak ia merupakan budi bicara Perdana Menteri sendiri.

"Biarpun sesebuah parti mungkin membuat keputusan parti untuk mencadangkan jawatan TPM dipenuhi, namun hakikatnya mana-mana parti boleh meminta, tetapi jauhkanlah daripada mendesak kerana kita harus menghormati kuasa yang ada di tangan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas bersarapan bersama penduduk setempat di Warung Kopi Atan Deris di Jeti Hutan Melintang di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar bahawa UMNO menuntut jawatan TPM daripada kerajaan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, sebarang spekulasi, tafsiran atau analisis mengenai jawatan TPM tidak harus dibincangkan secara umum.

Katanya, Perdana Menteri tentunya mempunyai perkiraan sendiri di dalam pelantikan jawatan-jawatan di dalam kerajaan tambahan pula bayangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah diumumkan.

Artikel Berkaitan: