X

Kindly register in order to view this article
!

LKIM komited bantu nelayan

Nelayan merupakan antara golongan yang menapat manfaat daripada Belanjawan 2021.
A
A

LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menegaskan Belanjawan 2020 membuktikan keberanian kerajaan mengemukakan bajet terbesar walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rendah berikutan keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal optimis bahawa kerajaan melihat Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) penting kerana menyediakan sumber makanan negara termasuk sumber protein utama.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan bajet yang diperuntukkan kepada industri itu khususnya nelayan kerana membantu mereka berbelanja untuk menjalani kehidupan harian dan menyimpan bagi keperluan pada masa akan datang.

“Saya juga berharap kerajaan melihat semula jika ada tambahan bajet untuk LKIM meningkatkan industri baharu dan rantaian bekalan dalam industri perikanan,” katanya kepada Sinar Ahad baru-baru ini.

Menurutnya, dalam Belanjawan 2021, kerajaan Malaysia menyediakan peruntukan khusus untuk pengembangan industri perikanan sebanyak RM150 juta dalam Program Pemodenan Vessel dan Mekanisasi Tangkapan untuk menaik taraf pukat, bot, peralatan nelayan supaya hasil tangkapan dapat ditambah dengan lebih ekonomi.

Syed Abu Hussin
Syed Abu Hussin

“Kerajaan turut menaikkan semula elaun sara hidup nelayan kepada RM300, sekali gus menunjukkan prihatin kepada nelayan.

“Sekurang-kurangnya nelayan ada wang yang mencukupi membeli keperluan makanan harian,” katanya.

Syed Abu Hussin berkata, kerajaan PN melalui MAFI dan agensi khusus menangani isu-isu kesan penularan Covid-19 dan berjaya menyediakan serta mengawal sumber makanan negara sehingga rakyat tidak putus bekalan makanan.

Bagaimanapun, dalam suasana Covid-19 ini banyak industri yang terkesan contohnya penerbangan, pengangkutan dan pelancongan.

“Mereka yang bekerja dalam industri itu hilang pekerjaan dan tidak mempunyai pendapatan tetapi kerajaan membantu secara bersasar. Mereka ada peluang untuk terlibat dalam industri makanan yang berpotensi cerah.

“Ada juga yang pulang ke kampung menjadi nelayan, petani dan pengusaha kedai makanan. Saya berharap kerajaan menyediakan insentif untuk membantu mereka terlibat dalam perniagaan baharu dan boleh kekal bertahan,” katanya.

Menurut Syed Abu Hussin, LKIM memainkan peranan penting bagi memastikan bekalan sumber protein iaitu ikan dan hasil laut negara mencukupi.

“LKIM sedang melaksanakan pembinaan lima stor simpan beku ikan untuk membantu pemasaran dan pengedaran ikan bagi mengatasi lambakan ikan,” katanya.

Menurutnya, projek pembinaan stor itu melibatkan kos berjumlah RM20.8 juta dan sedang dibangunkan di Terengganu, Pahang, Perak, Kedah dan Sabah dan dijangka siap pada tahun 2021.

“Kos pembinaan bilik sejuk itu daripada Peruntukkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE Prihatin- Program Pembekalan Ikan Segar dan Segar Beku).

“Kita menyasarkan setiap stor berkenaan boleh menyimpan 1,700 metrik tan ikan pada satu-satu masa. LKIM membantu nelayan dengan membeli serta memasarkan hasil tangkapan mereka di pasar nelayan di seluruh negara dan melibatkan 87 persatuan nelayan turut membantu dalam menjayakannya,” katanya.

Syed Abu Hussin berkata, untuk merancakkan industri perikanan, LKIM juga sedang berusaha untuk membuat pengeluaran produk isi ikan untuk industri keropok dan hiliran.

“Untuk memacu industri ini, LKIM menggalakkan usahawan mengeluarkan produk berasaskan ikan seperti sate ikan, keropok ikan yang sedang berjalan di Pulau Pangkor, Perak. Kita menjangkakan perniagaan ini akan diperluaskan ke Pulau Langkawi tahun depan,” katanya.

Jelasnya, LKIM juga bercadang memperbanyakkan restoran nelayan di bawah agensi itu yang akan dibuka di Kuala Selangor, Selangor dan Pulau Pangkor, Perak.

“Buat masa ini, restoran nelayan terdapat di Melaka; Pulau Langkawi, Kedah dan Pulau Pinang,” katanya.

Syed Abu Hussin berkata, LKIM juga membantu nelayan memperkenalkan inisiatif jualan ikan secara terus ke rumah melalui pembayaran tunai semasa serahan (COD).

“Inisiatif ini digerakkan dengan kerjasama membabitkan persatuan nelayan seluruh negara di bawah Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat). Tempahan ikan itu boleh dibuat secara dalam talian di www.nekmatbiz.com.my.

“Inisiatif itu diambil susulan penularan Covid-19 sejak Mac lalu untuk memberikan kemudahan kepada pengguna. LKIM turut memasarkan jualan ikan dalam talian melalui e-dagang terkemuka negara, Shopee bagi membolehkan pengguna membeli ikan tanpa perlu ke pasar,” katanya.

Katanya, setakat September lalu, jumlah jualan melalui nekmatbiz.com.my ialah 7520.08 kilogram dan merekodkan RM163,665.89.

“Melalui platform Shopee pula, setakat September 2020, jumlah jualan yang dicatatkan ialah RM54,736.30 dengan merekodkan sebanyak 2.622.4 kilogram melibatkan 831 tempahan,” katanya.

Hasil laut yang segar akan diagihkan kepada peraih.
Hasil laut yang segar akan diagihkan kepada peraih.

Beliau berkata, buat masa ini, bekalan ikan masih mencukupi dengan stok dalam pasaran kini sebanyak 185,000 tan metrik berbanding keperluan semasa sebanyak 155,000 tan metrik sebulan.

Katanya, pada tahun 2019, jumlah pendaratan hasil laut ialah 1,455,446 tan metrik yang mencatatkan RM11,336.32 juta dan nilai import pula ialah RM4,394 juta dengan jumlah 466,399 tan metrik, manakala nilai eksport ialah RM3,152 juta melibatkan 275,898 tan metrik.

Syed Abu Hussin berkata, ketika musim tengkujuh, LKIM proaktif membantu nelayan dengan memberikan khidmat nasihat dan bantuan kewangan untuk membolehkan mereka membaiki peralatan penangkapan ikan, bot, jala, pukat dan sebagainya.

“Kita juga menyediakan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk membantu nelayan pada tahun 2020 melibatkan tanaman kontan.

“Melalui Rezeki Tani, LKIM memperuntukkan sebanyak RM500,000 dengan nilai bantuan maksimum RM10,000 setiap peserta,” katanya.

Jelasnya, dalam Program Pembangunan dan Pemerkasaan Persatuan Nelayan, LKIM turut menyalurkan bantuan kepada Persatuan Nelayan yang terlibat dalam projek-projek ekonomi mengikut kluster yang ditetapkan dan berkaitan dengan rantaian nilai dalam industri perikanan.

“Pada tahun 2020, sejumlah RM500,000 telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program ini. Bagi memastikan industri perikanan negara terus berkembang, Skim Pinjaman Dana Nelayan telah dilaksanakan dengan pinjaman mudah tanpa faedah untuk membantu mentransformasikan golongan nelayan daripada tradisional kepada nelayan komersial.

“Bagi tahun 2020, sejumlah RM6 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program ini,” katanya.

Beliau menambah, LKIM juga bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menangani isu pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

“LKIM menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak antaranya ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia dapat dioptimumkan demi memastikan kepentingan nelayan terjaga dan hasil negara dapat dilindungi,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!