Banjir: Enam PPS dibuka di Kulim, Kuala Muda

Seorang anggota APM Kulim sedang memeriksa paras air di sebuah kawasan yang terlibat dengan banjir. -Foto ihsan APM
Seorang anggota APM Kulim sedang memeriksa paras air di sebuah kawasan yang terlibat dengan banjir. -Foto ihsan APM
A
A
A

ALOR SETAR - Enam pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kulim dan Kuala Muda dibuka bagi menempatkan mangsa banjir yang dipindahkan selepas rumah mereka dinaiki air semalam.

Ketua Bahagian Operasi Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, PPS yang dibuka di Mukim Sungai Seluang dan Lunas di daerah Kulim adalah Masjid Sungai Seluang, Surau Taman Sang Kancil dan Sekolah Kebangsaan Sungai Limau bagi menempatkan 256 mangsa daripada 74 buah keluarga.

Menurutnya, PPS Masjid Sungai Seluang dibuka pada jam 7.30 malam dengan bilangan mangsa seramai 106 orang daripada 32 keluarga.

"PPS Surau Taman Sang Kancil pula dibuka pada jam 7.15 malam dengan jumlah mangsa seramai 103 mangsa ( 28 keluarga), manakala di PPS Sekolah Kebangsaan Sungai Limau menempatkan seramai 47 mangsa (14 keluarga) yang dibuka pada jam 7 malam," katanya menerusi suatu kenyataan di sini hari ini.

Saifuddin berkata, banjir di dua mukim terbabit berlaku disebabkan hujan lebat selama sejam pada jam 2 petang semalam sehingga menyebabkan air di kawasan bukit melimpah ke kawasan yang rendah.

"Bagaimanapun tinjauan pada jam 8.15 pagi tadi mendapati trend air semakin menurun selain hujan hanya renyai-renyai," katanya.

Sementara itu, katanya, di daerah Kuala Muda tiga PPS turut dibuka di Mukim Sungai Petani dan Sidam Kiri yang menempatkan 435 mangsa daripada 109 keluarga.

"Tiga PPS terbabit adalah di Masjis Al- Abrar Taman Peruda, Surau Kampung Haji Wahab dan Dewan Masjid Al-Huda Kampung Jerung. Tinjauan pada jam 9 pagi tadi mendapati cuaca baik dan tidak hujan selain paras air juga semakin menurun," katanya.

Artikel Berkaitan: