X

Kindly register in order to view this article
!

Enam kampung di DUN Karambunai terima sumbangan APMM

Mohd Rosli (kiri) menyampaikan bantuan bakul makanan kepada Yakub (kanan) sebelum diserahkan kepada penduduk di bawah DUN Karambunai, di Sepanggar, Kota Kinabalu.
A
A

KOTA KINABALU - Prihatin dengan nasib penduduk yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, warga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengambil inisiatif untuk membantu meringankan beban penduduk dengan menyumbangkan bakul makanan di enam kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai hari ini.

Inisiatif itu adalah dengan kerjasama daripada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai dan Persatuan Anak Perak Sabah (PAPS) yang akan memberi manfaat kepada lebih 400 keluarga di kampung di sekitar kawasan terbabit.

Pengarah APMM Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, sebagai sebuah agensi daripada Persekutuan, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri termasuk bagi pelaksanaan program khidmat masyarakat di Sabah.

"Program khidmat masyarakat hari ini adalah untuk membantu mengurangkan beban rakyat di kawasan ini khususnya di Sepanggar dalam usaha kita menangani koronavirus (Covid-19).

"Kita faham ramai rakyat sekarang terjejas dalam konteks ekonomi dan diharap bantuan sumbangan peribadi daripada warga APMM dengan kerjasama Pejabat ADUN Karambunai serta sumbangan orang awam akan dapat mengurangkan beban mereka yang terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bakul makanan kepada ADUN Karambunai, Datuk Yakub Khan untuk diserahkan kepada penduduk di bawah DUN Karambunai di Sepanggar hari ini.

Mohd Rosli berkata, inisiatif itu diambil oleh warga APMM sendiri dengan kerjasama daripada NGO dan diserahkan kepada penduduk yang betul-betul terjejas di seluruh Sabah.

"Program ini sudah dilaksanakan di merata tempat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan antaranya termasuk Pulau Mantanani, Pulau Banggi, Pulau Balambangan dan Pulau Gaya.

"Kebanyakan program ini dilakukan sendiri oleh warga APMM dan dilaksanakan secara rasmi serta tersusun sebagai tanda warga APMM prihatin kepada masyarakat," katanya.

Sementara itu, Yakub yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah turut berkata, bantuan terbabit adalah sebagai salah satu usaha pelbagai pihak termasuk agensi penguatkuasaan dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam menangani pandemik Covid-19 di negeri ini.

"Hari ini lebih 400 bakul makanan akan diagihkan kepada enam kampung iaitu Kampung Gentisan, Kampung Wak-Wak, Kampung Kuala Manggatal, Kampung Gudon dan Kampung Napasan.

"Penerima sudah dikenal pasti oleh penyumbang sendiri dan khususnya pada mereka yang terjejas daripada golongan B40," katanya.

Mengulas lanjut berhubung dua kawasan di bawah DUN Karambunai yang kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Yakub meminta masyarakat di lokaliti itu memberi kerjasama kepada pihak berkaitan.

"Setakat ini, pihak kerajaan terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengambil proaktif dengan mengadakan PKPD di dua lokaliti iaitu Kampung Numbak dan penempatan Telipok.

"PKPD ini bukan penganiayaan kepada penduduk tetapi ia adalah salah satu langkah untuk mengelak penyebaran wabak Covid-19 dalam kalangan masyarakat daripada terus berleluasa.

"Kerajaan sudah mengambil langkah yang patut, jadi saya minta masyarakat memahami akan perintah PKPD ini," katanya.

Hadir sama dalam majlis itu, Presiden PAPS, Hisyam Ghazali.

Terdahulu, antara makanan yang disumbangkan termasuk beras, telur, ayam, mi segera dan sebagainya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!