X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Rakyat Malaysia antara kes import tidak bergejala di Singapura

Kementerian Kesihatan Singapura sahkan satu daripada kes import di negara itu babitkan seorang lelaki rakyat Malaysia.
A
A

SINGAPURA - Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan satu daripada empat kes import yang dilaporkan semalam membabitkan seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 36 tahun.

Diletakkan sebagai kes 58413, lelaki pemegang permit kerja yang tiba dari Malaysia itu dikenakan Notis Duduk di Rumah (SHN).

Menurut kementerian dalam data penuh dikeluarkan malam tadi, lelaki berkenaan dan empat kes import yang lain tidak bergejala (asymptomatic) dan dikesan menerusi saringan serta pemantauan proaktif.

Kes berkenaan adalah yang kedua direkodkan minggu ini membabitkan rakyat Malaysia.

Setakat 12 tengah hari semalam, republik itu melaporkan enam kes baharu dengan satu kes penularan tempatan, menjadikan keseluruhan kes kepada 58,205.

Satu kematian dilaporkan di Singapura membabitkan lelaki warga tempatan berusia 68 tahun yang meninggal dunia di National University Hospital susulan komplikasi akibat wabak koronavirus (Covid-19), menjadikan jumlah keseluruhan 29 kematian direkodkan.

Dikenal pasti sebagai kes 58343, MOH memaklumkan lelaki terbabit mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada 10 Mac atas sebab kerja pulang ke republik itu pada 17 November, dan dimasukkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas.

Pesakit itu disahkan positif Covid-19 pada 18 November lalu dan mempunyai sejarah penyakit hipertensi serta jantung.

Kali terakhir Singapura merekodkan kematian pada 12 Oktober lalu selepas dua korban pertama pada 21 Mac.

Hingga kini hampir 99 peratus atau 58,119 kes telah pulih sepenuhnya manakala 32 kes positif masih dirawat di hospital dan tiada pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Sementara itu, 25 pesakit bergejala ringan atau secara klinikalnya sihat tapi positif Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Singapura menamatkan kluster terakhir iaitu asrama pekerja asing pada 25 November lalu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!