Ada polis 'tutup mata' lindungi penyeludupan

Safien menunjukkan antara laluan tikus yang sering digunakan penyeludup di tepi Sungai Golok.
Safien menunjukkan antara laluan tikus yang sering digunakan penyeludup di tepi Sungai Golok.
A
A
A

[LAPORAN KHAS] Polis Kelantan tidak menafikan kemungkinan terdapat anggota yang ‘tutup mata’ atau menerima suapan menyebabkan kegiatan penyeludupan masih berlaku di sempadan negara selain keberanian kumpulan itu melakukan jenayah tersebut.

Bagaimanapun, Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, ia hanya melibatkan segelintir anggota dan pihaknya tidak akan berdiam diri kerana mereka yang terlibat dalam salah laku serta melanggar disiplin akan dikenakan tindakan setelah didapati terbukti bersalah.

Tidak menafikan persepsi segelintir pihak yang beranggapan kegiatan penyeludupan di sempadan juga tetap berlaku kerana terdapatnya ‘sokongan’ daripada pihak berkuasa, Shafien yang menerajui Kontinjen Kelantan bermula September lalu memaklumkan perkara tersebut tidak akan dibiarkan menjadi nanah di dalam pasukannya.

“Saya bukan nak menafikan seratus peratus kerana maklum sahaja dalam kekuatan yang ada ini. Integriti itu perlu kita lihat. Ada (melibatkan anggota). Jadi saya yakin kalau kekuatan dan integriti yang tinggi dalam pasukan datanglah bagaimana ancaman pun, dapat ditangani.

“Ibarat kata dalam satu kampung, bukan saya nak kata seratus peratus baik. Mungkin ada satu dua orang (terlibat). Kita pun ada maklumat dan buat pemantauan.

“Jika terbukti kita akan ambil tindakan dan tidak akan berkompromi. Kalau ada kejadian-kejadian yang mereka melanggar undang-undang dan tidak amanah, kita akan ambil tindakan,” katanya selepas mengadakan tinjauan di Perairan Sungai Golok Pengkalan Kubor semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan khas Sinar Harian berhubung sempadan negara dibolosi penyeludup semalam.

Shafien juga memaklumkan, beliau telah menubuhkan satu task force tanpa diketahui siapakah individu menganggotainya dalam usaha mematahkan aktiviti penyeludupan di Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Anggota polis yang bertugas di Pos Nibong, Pengkalan Kubor memeriksa kenderaan yang keluar masuk ke kawasan terbabit.
Anggota polis yang bertugas di Pos Nibong, Pengkalan Kubor memeriksa kenderaan yang keluar masuk ke kawasan terbabit.

“Tidak ada siapa tahu siapakah mereka (anggota task force). Saya guna kaedah ini untuk membantu agensi-agensi berkaitan dan juga cara kita hendak mencari, mengesan dan menangkap mereka yang terlibat aktiviti-aktiviti haram,” katanya.

Menurut Shafien, sempadan negara yang hanya dipisahkan oleh Sungai Golok memang menampilkan cabaran yang amat getir dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras jenayah merentasi sempadan.

Beliau juga tidak menafikan wujudnya banyak ‘laluan tikus’ yang yang dibuat oleh kumpulan penyeludup bagi membawa barangan mahupun imigran, selain kewujudan tonto yang bertindak menyalur maklumat mengenai pergerakan kumpulan penguatkuasa kepada penjenayah.

Katanya, selain itu anggota penguat kuasa di sempadan juga berdepan risiko akibat tindakan agresif kumpulan penyeludup.

“Contohnya, dalam dua bulan lepas ada anggota di sempadan ditembak menggunakan senapang angin,” katanya.

Dalam pada itu, Shafien memberikan amaran keras kepada semua pegawai dan anggotanya untuk tidak sesekali terlibat dengan aktiviti yang boleh memberi persepsi negatif sekaligus mencemarkan imej anggota berkuasa yang diberikan tanggungjawab menjaga keamanan negara.

Tambah beliau, sebesar mana iltizam PDRM dalam mengekang jenayah, pihaknya juga mengharapkan sokongan daripada masyarakat tempatan termasuk juga dalam usaha untuk mengekang penyeludupan.

“Kalau masyarakat senyap tidak mahu cerita, berkemungkinan melibatkan anggota keluarga dan sebagainya inilah yang memberi sedikit kekangan kepada kita.

“Saya percaya kalau masyarakat bersama-sama kita bersama-sama PDRM, insya-ALLAH segala bentuk ancaman, segala bentuk musibah dapat atasi secara baik,” katanya.