Percaturan Israel di Iran

Saintis Iran, Mohsen Fakhrizadeh dilaporkan dibunuh dalam serangan hendap lelaki bersenjata di Damavand, timur Teheran kelmarin.
Saintis Iran, Mohsen Fakhrizadeh dilaporkan dibunuh dalam serangan hendap lelaki bersenjata di Damavand, timur Teheran kelmarin.
A
A
A

ISRAEL dikaitkan dengan pembunuhan seorang saintis nuklear Iran, Mohsen Fakhrizadeh selepas sebuah kereta dinaikinya diserang hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di daerah timur Teheran kelmarin.

Peranan rejim Zionis dalam kejadian itu juga didedahkan oleh Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif dengan menganggap ia merupakan perbuatan pengecut.

Terdapat petunjuk serius tentang peranan Israel dalam serangan tersebut.

Akhbar New York Times dilaporkan berkata, seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) dan dua pegawai perisikan lain mengesahkan negara Yahudi itu menjadi dalang dalam serangan tersebut.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sehingga semalam enggan memberikan sebarang komen tentang pembunuhan itu kepada stesen penyiaran CNN.

Ironisnya, kejadian itu berlaku selepas Netanyahu dilaporkan mengadakan pertemuan rahsia dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman dan Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo di sebuah bandar mega di Jeddah pada Ahad minggu lalu.

Walaupun Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan menafikan pertemuan itu berlaku tetapi butiran-butiran yang dibincangkan antara Putera Mohammed, Netanyahu serta Pompeo telah didedahkan oleh media Israel manakala portal berita Arab dengan memetik sumber-sumber daripada kerajaan Yahudi termasuk dari Arab Saudi.

Pertemuan itu dikatakan turut membincangkan tentang program nuklear Iran dan Putera Mohammed dilaporkan enggan untuk bersetuju dengan cadangan Netanyahu supaya satu serangan dilakukan ke atas Iran.

Artikel Berkaitan:

Menurut sumber seperti dilaporkan portal berita Middle East Eye secara eksklusif, dalam pertemuan berkenaan, Netanyahu dikatakan memperjuangkan satu serangan dilakukan ke atas negara tersebut tetapi Pompeo tidak menyokong atau bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Serangan ke atas Iran dikatakan mahu dilakukan sebelum Presiden AS, Donald Trump menamatkan penggal pemerintahnya dan bekas Naib Presiden AS, Joe Biden memulakan tugas sebagai pemimpin negara itu pada 20 Januari tahun depan.

Iran menjadi sasaran serangan kerana negara itu disyaki mahu membina senjata nuklear tetapi dinafikan oleh Teheran yang sebaliknya berkata, program nuklearnya adalah untuk tujuan keamanan seperti membekalkan tenaga elektrik.

Sebuah loji tenaga nuklear Bushehr Iran terletak di selatan negara itu.
Sebuah loji tenaga nuklear Bushehr Iran terletak di selatan negara itu.

Cadangan untuk menyerang Iran dilaporkan dibuat ekoran Biden dilaporkan akan memulihkan semula hubungan dengan Iran selepas Trump bertindak menarik diri daripada Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) antara kuasa-kuasa besar dunia dengan Teheran pada tahun 2018 yang mengehadkan program nuklear Teheran bagi mengelakkannya dikenakan sekatan antarabangsa.

Dalam pada itu, kejadian pembunuhan Fakhrizadeh berlaku selepas pemberontak Houthi di Yemen melancarkan satu serangan peluru berpandu ke arah sebuah loji minyak di Jeddah yang menyebabkan sebuah tangki minyaknya terbakar tetapi tidak menyebabkan kecederaan dan kematian pada Isnin lalu.

Ia juga berlaku setelah sebuah kapal kargo Greece terbakar selepas terkena serpihan letupan sebuah bot yang dipenuhi dengan bahan letupan yang dimusnahkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi di pelabuhan Shuqiaq di negara itu pada Rabu lalu dan kumpulan Houthi juga dipersalahkan dalam kejadian tersebut.

Serangan daripada kumpulan Houthi yang mendapat sokongan Iran itu dilakukan kerana penglibatan Arab Saudi dalam perang saudara di negara itu sejak tahun 2015 yang menyokong kerajaan pimpinan Presiden Yemen, Abed Rabbo Mansour Hadi.

Pembunuhan itu juga berlaku selepas tentera udara AS melancarkan serangan udara dan membunuh seorang komander kanan tentera Iran, Qassem Soleimani yang merupakan jeneral dalam Pasukan Pengawal Revolusi di Baghdad, Iraq pada 3 Januari lalu.

Fakhrizadeh, 59, yang mati dibunuh itu juga dianggap mengetuai sebuah program senjata nuklear Iran oleh Netanyahu dan pernah dikenakan sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana menjadi ketua Organisasi Inovasi Pertahanan dan Penyelidikan Iran pada tahun 2007.

Pembunuhannya dikatakan dilakukan oleh unit perisikan Israel dalam Mossad dikenali sebagai Kidon yang terlatih dalam membunuh musuh-musuh negara itu di luar negaranya.

Kematian Fakhrizadeh menambahkan lagi senarai pegawai-pegawai kanan dan saintis Iran mati dibunuh dan dipercayai dilakukan oleh Israel seperti Mejar Jeneral Hassan Shateri; Mostafa Ahmadi-Roshan iaitu saintis nuklear Iran serta jurutera elektrik Iran yang didakwa membantu membina senjata nuklear negara itu.

Seorang lagi ahli fizik Iran, Profesor Masoud Alimohammadi terbunuh dalam letupan bom kereta pada tahun 2010 dengan pihak pendakwa raya menuduh Mossad mendalangi pembunuhannya. - Agensi