Teruskan peruntukan bela kaum India

Daripada RM322.5 bilion dalam belanjawan itu, sebanyak 0.78 peratus iaitu RM100 juta telah diperuntukkan kepada masyarakat minoriti India di negara ini. Gambar hiasan fail Bernama
Daripada RM322.5 bilion dalam belanjawan itu, sebanyak 0.78 peratus iaitu RM100 juta telah diperuntukkan kepada masyarakat minoriti India di negara ini. Gambar hiasan fail Bernama
A
A
A

Belanjawan 2021 selesai dibentang di Parlimen pada tanggal 6 November lepas dan lulus diluluskan di peringkat dasar pada 26 November dengan sokongan majoriti ahli Parlimen.

Belanjawan bertemakan Teguh Kita, Menang Bersama itu menelan peruntukan kumulatif sejumlah RM322.5 bilion berbanding tahun 2020 iaitu RM297 bilion dan RM314.5 bilion bagi 2019 dan yang paling besar dalam sejarah negara.

Buat julung kalinya, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menggalas tanggungjawab dalam membentangkan Belanjawan 2021 pada musim pandemik Covid-19 yang menjadi ancaman kepada survival umat manusia global.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyifatkan Belanjawan 2021 yang sulung buat Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tersebut sebagai manifestasi komitmen dan keprihatinan kerajaan untuk memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terus terbela dalam menghadapi wabak Covid-19.

Walaupun terdapat ura-ura Belanjawan 2021 itu akan berdepan laluan sukar untuk diluluskan disebabkan ada agenda cubaan untuk menolak usaha itu namun hal itu tidak menjadi kenyataan.

Daripada RM322.5 bilion dalam belanjawan itu, sebanyak 0.78 peratus iaitu RM100 juta telah diperuntukkan kepada masyarakat minoriti India di negara ini.

Peruntukan sebanyak RM100 juta disalurkan kepada Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) itu adalah untuk memperkasa kedudukan sosioekonomi kaum India yang berpopulasi lebih 2 juta orang daripada kira-kira 32 juta rakyat Malaysia.

Belanjawan 2021 juga menyediakan RM20 juta melalui Tekun Nasional untuk skim pinjaman daripada agensi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun belanjawan terbaharu itu menyaksikan senario tiada peruntukan bagi pembangunan sekolah vernakular Tamil di seluruh negara.

Kolum lidah pengarang akhbar harian Malaysia Nanban lantang menyatakan bahawa sungguhpun Belanjawan 2021 itu diterima sebagai pelindung dan penyelamat rakyat serta ekonomi Malaysia namun masih kurang sempurna disebabkan agihan peruntukan dan perancangan pembangunan khususnya untuk kaum India gagal memuaskan sanubari serta harapan masyarakat berkenaan.

Justeru, Malaysia Nanban menuntut kerajaan PN agar segala peruntukan pembangunan bagi minoriti India perlu dikekalkan dan diteruskan bagi membela nasib serta melindungi kelangsungan hidup mereka.

Berdasarkan laporan kadar indeks kemiskinan negara, kaum India mencatatkan sebanyak 4.8 peratus manakala masyarakat majoriti Melayu sebanyak 7.2 peratus dan Cina pula 1.4 peratus.

Kadar kemiskinan kaum India itu sudah memadai untuk membuktikan betapa pentingnya peruntukan pembangunan bagi membasmi kemiskinan dalam kalangan golongan B40.

Akhbar Malaysia Nanban melaporkan bahawa seluruh masyarakat India meluahkan kebimbangan dan rasa kesal berikutan Belanjawan 2021 tidak mengumumkan peruntukan bagi 527 buah sekolah vernakular Tamil di seluruh negara.

Kerajaan dan tampuk kepimpinan lampau, misalnya belanjawan dari tahun 2016 hingga 2020 menyaksikan sebanyak RM50 juta dana diperuntukkan bagi pembangunan sekolah vernakular tersebut.

Namun Menteri Sumber Manusia selaku Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menjelaskan bahawa sekolah vernakular Tamil tidak dipinggirkan dalam Belanjawan 2021 sebaliknya dana tersebut terdapat dalam peruntukan Kementerian Pendidikan.

Saravanan berkata, segala peruntukan untuk sekolah vernakular Tamil sudah pun disalurkan dalam peruntukkan Kementerian Pendidikan berjumlah RM50.4 bilion dan pecahannya akan diumumkan nanti.

Mandat yang diberi dalam menguruskan peruntukan jutaan ringgit itu perlu digunakan dengan bijak untuk pembangunan masyarakat India secara berterusan dan langkah-langkah membasmi kemiskinan serta kegemilangan sekolah vernakular Tamil terjamin.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor