'Ayah pesan wakaf al-Quran guna duit sumbangan'

Allahyarham Tazulfakri yang menghidap penyakit komplikasi jangkitan kuman tanah sejak setahun lalu pernah mendapat perhatian netizen selepas kisahnya dilaporkan oleh Sinar Harian pada 4 November lalu.
Allahyarham Tazulfakri yang menghidap penyakit komplikasi jangkitan kuman tanah sejak setahun lalu pernah mendapat perhatian netizen selepas kisahnya dilaporkan oleh Sinar Harian pada 4 November lalu.
A
A
A

JENGKA - Bekas peniaga roti canai, Tazulfakri Anuar, 49, yang menghidap penyakit komplikasi jangkitan kuman tanah atau meliodosis sejak setahun lalu menghembuskan nafas terakhirnya awal pagi tadi.

Allahyarham Tazulfakri yang menetap di Felda Jengka 23 di sini meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Jengka pada jam 2.45 pagi semalam meninggalkan seorang isteri serta empat anak berusia 23 hingga 6 tahun.

Balu Allahyarham, Rodziah Md Salleh, 43, memberitahu, suaminya telah menjalani rawatan susulan di Hospital Jengka sejak seminggu lalu.

''Namun tiga hari lepas dia merayu untuk balik kerana katanya rindu ketenangan di rumah sambil menunggu 'orang besar' datang.

"Atas alasan itu memaksa doktor yang merawatnya membenarkan pulang dengan syarat menanggung sendiri sebarang risiko.

"Namun semalam dia mengadu sangat lemah dan sesak nafas meminta dihantar semula ke Hospital Jengka. Allahyarham meninggal di ICU pada pukul 2.45 pagi," katanya kepada Sinar Harian.

Allahyarham Tazulfakri selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Jengka 23 hari ini.
Allahyarham Tazulfakri selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Jengka 23 hari ini.

Ujar Rodziah, Allahyarham acap kali bercerita mengenai tanda-tanda kematian sejak menghidap penyakit tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Saya reda dengan pemergian suami walaupun sedih namun takdir ALLAH lebih menyayanginya," ujarnya.

Sebelum ini Sinar Harian pernah mendedahkan kisah Tazulfakri yang terpaksa menggunakan kerusi roda berikutan kudratnya semakin lemah sejak April lalu dan terpaksa bergantung dengan isterinya mencari rezeki buat keluarga mereka.

Dalam pada itu, Rodziah juga mengucapkan terima kasih kepada banyak pihak dan orang ramai yang telah menyalurkan sumbangan buat keluarganya.

Allahyarham selamat dikebumikan di tanah perkuburan Felda Jengka 23 di sini kira-kira jam 11.30 pagi hari ini.

Sementara itu, anak sulung Allahyarham, Nurul Diatul Fikina Tazulfakri, 23, memberitahu, ayahnya pernah berpesan supaya mewakafkan al-Quran kepada pusat tahfiz hasil sumbangan wang yang diperoleh keluarganya.

"Ayah juga kata untuk menggunakan sedikit wang yang diterima untuk pembedahan lutut akibat kecederaan ACL yang saya alami ketika zaman belajar dulu," katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Penebar roti canai hidap jangkitan kuman tanah selepas berkebun