X

Kindly register in order to view this article
!

Pendirian PH hampakan penyokong

A
A

RAMAI juga sahabat saya menghantar ulasan melalui WhatsApp bagi menjawab hujah-hujah saya berkaitan Belanjawan 2021 yang saya siarkan dalam Facebook.

Saya telah menulis beberapa ulasan mengenai Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 sejak ia dibentangkan pada 6 November lalu khususnya dalam konteks politik.

Pada 26 November, Belanjawan 2021 diluluskan pada peringkat dasar oleh Dewan Rakyat melalui undian suara tanpa sebarang bantahan keras daripada pembangkang, khususnya Pakatan Harapan (PH).

Hanya 13 ahli Dewan dalam kalangan ahli-ahli bebas yang bersekutu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa orang wakil daripada parti-parti anggota PH, menentang.

Bagaimanapun, disebabkan bilangan mereka tidak sampai 15 orang, iaitu jumlah minimum yang diperlukan untuk meminta undi belah bahagi diadakan, maka pengundian dilakukan melalui suara.

Dalam bahasa paling mudah, RUU itu lulus kerana penyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) menjerit dengan lebih lantang dan wakil pembangkang sama ada turut menyokong atau berdiam diri.

Saya telah memetik sumber-sumber PH sebagai berkata bahawa mereka tidak menentang undian peringkat dasar itu kerana menghormati nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Salah seorang sahabat mempersoalkan alasan tersebut kerana katanya, sehingga saat akhir sebelum pengundian PH masih melobi ahli Dewan, khususnya daripada UMNO supaya menolak RUU itu.

Di sebelah pihak Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, para pelobinya amat yakin yang mereka mempunyai cukup bilangan untuk menghalang RUU tersebut daripada diluluskan maka dengan itu menumbangkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tetapi pada awal pagi Khamis – sebelum Subuh – pihak PH dikatakan mendapat maklum balas daripada feksyen UMNO yang diketuai oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa telah berlaku perubahan pendirian dan mereka akan menyokong Belanjawan.

Maksudnya, sekali lagi Anwar hampa dalam kira bicara dengan Ahmad Zahid yang mempunyai rekod menyebelahi pihak yang lebih berkuasa.

Maka tidak hairanlah kalau pemimpin PH panik dan menghantar mesej yang mengelirukan kepada wakil-wakil rakyat mereka.

Mengikut cerita sahabat saya itu, ada ahli Parlimen PH yang tidak membaca pesanan dalam telefon pintar mereka dan bertindak menolaknya.

Jadi tidak peliklah jika selepas sidang hari itu, ramai wakil rakyat PH mencemuh ketua mereka kerana mengubah pendirian pada saat akhir.

Sekarang PH bercakap mengenai fasa baharu perbahasan belanjawan serta kemungkinan pertukaran kerajaan kerana kononnya mereka mempunyai bilangan yang cukup.

Sahabat saya itu menambah, dakwaan bahawa pembangkang akan melancarkan fasa baharu mulai Isnin ini di peringkat jawatankuasa adalah auta.

Realitinya, kata beliau, belanjawan sudah pun diluluskan.Kalau benar PH tidak menentang belanjawan kerana menghormati nasihat Yang di-Pertuan Agong, bagaimanakah mereka hendak pertikaikan peruntukan yang telah diluluskan, termasuk kepada Jabatan Penerangan Khas (Jasa)?

Realitinya mereka telah menghampakan ahli parti dan penyokong mereka. Bagaimana mereka hendak menjelaskan yang dulu mereka bertungkus-lumus menentang penyangak kleptokrasi, tetapi hari ini bekerjasama dengan orang sama?

Kesudahannya, apa pun yang kita kata tentang orang tua 95 tahun itu, dialah yang bangun di dewan bagi menunjukkan kepimpinan bermoral dan konsisten. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!