Kemelut politik belum berakhir

A
A
A

LUAR biasa namun ia belum berakhir! Begitulah yang boleh dikatakan mengenai kejayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melepasi halangan undian untuk bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021).

Sejak beberapa hari sebelum pengundian terdapat angin yang hampir pasti bahawa Belanjawan 2021 akan mencatat sejarah sebagai belanjawan yang kali pertama gagal dalam undian.

Ini kerana belanjawan ini bukan sahaja ditolak oleh blok pembangkang tetapi juga dikenakan syarat ketat oleh Barisan Nasional (BN) yang berada dalam blok kerajaan.

BN menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran one-off hingga RM10,000 daripada akaun satu KWSP selain melanjutkan moratorium sehingga Jun 2021.

Dalam masa sama terdapat khabar angin kuat bahawa 6 hingga 7 orang ahli Parlimen BN akan mengundi menentang Belanjawan 2021 ini bagi menjatuhkan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Belanjawan 2021 bacaan kali kedua hanya boleh ditolak jika undian secara terperinci atau dikenali sebagai undian belah bagi dibuat.

Dalam peraturan sidang Dewan Rakyat, RUU boleh diluluskan melalui undian suara mana yang lebih kuat sama ada menyokong atau menentang.

Speaker Dewan Rakyat akan bertanya dua kali iaitu, pertamanya yang menyokong diminta menjerit ‘YA’; manakala soalan kedua ialah mereka yang tidak menyokong diminta menjerit ‘TIDAK’.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan suara yang mana lebih banyak, Speaker akan memutuskan RUU tersebut diluluskan atau ditolak.

Selalunya undian ini akan berakhir dengan usul kerajaan akan diluluskan kerana andaian suara wakil kerajaan lebih ramai dalam Dewan. Dalam konteks inilah bacaan kali kedua Belanjawan 2021 diluluskan Khamis lalu.

Dewan Rakyat boleh mengadakan undian terperinci atau disebut undian belah bagi jika terdapat permintaan daripada sekurang-kurangnya 15 orang ahli Dewan.

Di bawah peraturan ini, loceng akan dibunyikan untuk memanggil semua ahli Parlimen yang mungkin berada di luar Dewan untuk masuk ke dalam. Selepas 10 minit, loceng akan dibunyikan sekali lagi selama dua minit sebelum pintu dewan dikunci dan pengundian bermula.

Kertas undi setiap ahli Dewan diserahkan kepada seorang wakil blok yang bertindak sebagai kaunter undi sebelum diserahkan kepada Setiausaha Dewan untuk kiraan dan memaklumkan jumlah sokongan dan tentangan kepada Speaker. Berdasarkan carta kedudukan ahli Dewan terdapat tujuh blok iaitu A, B, C, D, E dan F.

Kelulusan RUU tidak memerlukan majoriti mudah berdasarkan jumlah keseluruhan ahli dewan. Ia hanya memerlukan sokongan majoriti yang berada dalam Dewan ketika itu.

Bagaimanapun, usaha menggagalkan Belanjawan 2021 untuk menjatuhkan Muhyiddin tidak dilaksanakan seperti perancangan awal.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan memberi isyarat saat akhir supaya membatalkan sebarang usaha mengadakan undi belah bagi.

Isyarat Anwar telah menyebabkan hanya 13 orang bangun meminta undian terperinci ini diadakan berbanding jumlah minimum yang diperlukan ialah 15 orang.

Apakah yang menyebabkan Anwar mengubah fikiran pada saat akhir? Alasan seperti menghormati titah Yang di-Pertuan Agong atau menunggu masa lain untuk menggagalkan belanjawan tampak seperti alasan yang difikirkan selepas keputusan sekelip mata itu dibuat.

Andaian yang paling hampir ialah Anwar menyedari beliau tidak mempunyai cukup sokongan untuk menggagalkan belanjawan ini. Ia sama ada sekutunya dalam blok kerajaan berpaling tadah, atau sekutu sedia adanya dalam blok pembangkang telah bersedia menyokong belanjawan ini.

Anwar sedar jika undian belah bagi diadakan dan belanjawan mendapat kelulusan majoriti, maka beliau telah hilang kelebihan untuk mendakwa ada ‘nombor’ untuk menjadi Perdana Menteri.

Ini merupakan langkah taktikal Anwar yang sangat signifikan kepada beliau dan menunjukkan krisis politik negara tidak akan reda dengan begitu mudah.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)