Kes Covid-19 Kelantan catat dua angka hari ini

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Kes baharu positif pandemik koronavirus (Covid-19) di Kelantan melonjak ke angka dua digit hari ini iaitu 18 kes berbanding lima kes semalam.

Jumlah itu ialah tujuh di Tanah Merah, masing-masing empat di Kota Bharu dan Pasir Mas serta dua di Pasir Puteh, manakala satu di Bachok.

Kes baharu membabitkan 11 daripada Kluster Mengketil, enam kontak rapat kes Sah (Survelan ILI) dan satu kes Kluster Chengal.

Daripada jumlah itu juga sembilan adalah kes import rentas negeri.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, Covid-19 masih menular di negeri ini dan meminta kerjasama daripada rakyat untuk sama-sama berusaha mengekang penyebaran pandemik itu.

“Tingkatkan disiplin dan bagi kerjasama. Patuhi prosedur operasi standard (SOP). Kita masih belum bebas sepenuhnya,” katanya melalui satu status di akaun Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Kelantan di laman rasminya memaparkan Kota Bharu kekal berstatus zon merah sejak tiga hari lalu dengan keseluruhan 48 kes positif Covid-19.

Dua zon jingga di daerah Machang dengan 36 kes, sementara Tanah Merah 33 kes masing-masing penularan tempatan.

Artikel Berkaitan:

Lima zon kuning iaitu Pasir Mas 11 kes, Bachok dan Pasir Puteh masing-masing dua manakala Kuala Krai dan Tumpat masing-masing satu kes semua penularan tempatan.

Zon masih hijau tinggal Gua Musang dan Jeli.

Keseluruhan Covid-19 di Kelantan sebanyak 353 kes dengan jumlah kematian setakat ini tiga kes.