Peragut ditahan selepas kena 'siku' mangsa

No Image Caption
A
A
A

BATU CAVES - Seorang penjenayah diberkas ketika cuba meragut rantai seorang lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Taman Sunway Batu Caves semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian jam 12.40 tengah hari itu, mangsa berusia 29 tahun yang sedang mengambil anaknya dari dalam kereta didatangi suspek yang menaiki motosikal.

Menurutnya, suspek yang datang dari arah belakang cuba meragut rantai mangsa, namun tidak berjaya selepas disiku mangsa.

"Tindakan mangsa yang menyiku bahagian dada suspek berusia 27 tahun menyebabkan suspek terjatuh sebelum ditahan dengan bantuan orang awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah, namun ujian saringan air kencing negatif.

"Siasatan awal mendapati, suspek baru dibebaskan dari perintah sekatan buang daerah (PCO) Isnin lalu dan siasatan sedang dijalankan berhubung penglibatan suspek dalam kes lain.

"Suspek ditahan reman sehingga Selasa depan untuk siasatan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: